Benarkah jurang kaya, miskin M’sia makin lebar?


shadow

Di sebalik kebimbangan masyarakat tentang isu kemiskinan dan ketaksamaan, percaya atau tidak, jurang pendapatan dalam kalangan masyarakat di Malaysia secara amnya bertambah baik.

Selepas Krisis Kewangan Asia 1997, kadar ketaksamaan berdasarkan pekali Gini telah menurun daripada 0.459 pada 1997 kepada 0.399 pada 2016.

Ini bermakna jurang antara golongan kaya dan miskin semakin mengecil secara relatif, walaupun jurang mengikut nilai mutlak pendapatan mungkin semakin melebar.

Apabila berbincang tentang pendapatan, masyarakat lazimnya menyamakan pendapatan dengan gaji dan upah kerana ia merupakan sumber utama pendapatan isi rumah.

Namun, kebanyakkan analisis jurang ekonomi di Malaysia mengguna pakai data pendapatan isi rumah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang menakrifkan konsep ‘pendapatan’ secara lebih luas.

Pendapatan tidak sahaja terhad kepada gaji dan upah. Malah, sewa, faedah, dividen dan pulangan lain daripada harta; serta pendapatan pindahan yang diterima daripada kerajaan, pertubuhan kebajikan dan saudara-mara seperti bantuan tunai Bantuan Sara Hidup, wang pencen, biasiswa dan pindahan wang bulanan daripada anak kepada ibu bapa juga diambil kira.

Pendapatan kasar dan bersih

Tidak dinafikan dasar pengagihan semula oleh kerajaan banyak menyumbang kepada penurunan ketaksamaan di Malaysia. 

Penggunaan ‘pendapatan kasar’ dalam statistik rasmi (yang belum ditolak potongan-potongan seperti cukai, KWSP dan Perkeso), bermakna bahawa hanya kesan ‘pindahan diterima’ sahaja diambil kira.

Sementara itu, kesan ‘pindahan dibayar’ seperti cukai pendapatan ke atas penurunan ketaksamaan tidak diambilkira.

Kajian oleh Khazanah Research Institute (KRI) menggunakan data pendapatan isi rumah 2014 menunjukkan pekali Gini menyusut daripada 0.403 kepada 0.386 apabila menggunakan takrif pendapatan bersih, bukan pendapatan kasar.

Ini bermakna komponen cukai beserta tolakan-tolakan lain telah merapatkan jurang ekonomi dalam kalangan masyarakat.

Manfaat daripada pemilikan rumah

Selain itu, apa yang dianggap sebagai ‘pendapatan’ juga boleh merangkumi manfaat yang terhasil daripada barangan dan perkhidmatan yang dimiliki atau dihasilkan oleh isi rumah untuk kegunaan sendiri.

Salah satu elemen penting dalam komponen pendapatan ini ialah sewa imput yang merujuk kepada ‘pendapatan’ (bukan tunai) yang dinikmati oleh isi rumah yang tinggal di dalam rumah yang dimiliki sendiri.

Data 2014 menunjukkan pendapatan isi rumah bertambah sebanyak 11 peratus secara purata apabila sewa imput ini dimasukkan ke dalam jumlah pendapatan.

Pekali Gini berdasarkan pendapatan termasuk sewa imput jauh lebih rendah (0.403) berbanding dengan pekali Gini berdasarkan pendapatan tidak termasuk sewa imput (0.417).

Masyarakat Malaysia umumnya menganggap pemilikan rumah sebagai satu bentuk pelaburan yang menyumbang kepada pengumpulan harta jangka panjang.

Kadar pemilikan rumah di Malaysia yang tinggi (melebihi 70 peratus) dan merangkumi isi rumah berpendapatan rendah, sederhana dan tinggi, bermakna ‘manfaat daripada perumahan’ ini telah menyumbang kepada peningkatan jumlah pendapatan kepada semua lapisan.

Peningkatan mendadak harga rumah selepas tahun 2009 menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah melalui nilai sewa imput ini dan seterusnya menyumbang kepada penurunan tahap ketaksamaan.

Antara realiti dan persepsi

Sebaliknya, jurang ketaksamaan adalah lebih besar apabila hanya pendapatan gaji dan upah sahaja diambil kira.

Kadar pertumbuhan gaji dan upah yang lembab kebelakangan ini juga mempengaruhi persepsi masyarakat bahawa jurang pendapatan semakin melebar.

Persoalannya, apakah takrif pendapatan terbaik dalam pengukuran jurang ekonomi isi rumah di Malaysia?

Ketersediaan data terperinci bagi setiap komponen pendapatan, beserta data pemilikan harta yang masih terhad di Malaysia, boleh membantu memahami tentang jurang yang wujud dengan lebih mendalam.-Mkini

Tinggalkan komen anda