DBKL beri pinjaman bantu Bumiputera bayar deposit rumah


shadow

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyediakan dana pusingan RM3.9 juta bertujuan membantu Bumiputera membeli rumah mampu milik di wilayah itu.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata langkah itu dilihat dapat meringankan beban pembeli yang telah ditawarkan kediaman seumpama itu dalam menyediakan wang pendahuluan.

“Pinjaman daripada dana pusingan itu perlu dibayar balik dalam tempoh 10 tahun tanpa dikenakan sebarang faedah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dana tabung itu merupakan hasil kutipan denda ke atas pemaju yang menjual unit kuota Bumiputera tanpa kebenaran selain sumbangan 5% daripada harga unit yang diberi pelepasan untuk dijual kepada bukan Bumiputera.

Katanya sasaran dana pusingan itu ialah golongan B40 terutama bagi pembelian rumah pertama.

Dalam pada itu, Khalid berkata peruntukan RM10 juta disediakan untuk tujuan pengambilan 229 pekerja sambilan DBKL tahun ini untuk pelbagai acara seperti KL Kota Buku Dunia, Tahun Melawat Malaysia 2020 dan penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec).

Tinggalkan komen anda