Dr Mahathir akan hadir rumah terbuka Tahun Baru Cina Gerakan


shadow

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad akan menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Gerakan di Kuala Lumpur Sabtu ini, kata Presiden parti itu Dr Dominic Lau.

Lau memberitahu The Malaysian Insight, Jabatan Perdana Menteri semalam mengesahkan Dr Mahathir akan memenuhi jemputan ke majlis tersebut.

Majlis rumah terbuka itu akan diadakan di ibu pejabat Gerakan di Menara PGRM di Jalan Pudu, Sabtu ini.

“Kami terkejut perdana menteri sudi hadir, kami sudah tentu akan menyambut kedatangan beliau pada majlis kami,” kata Lau.

Menurutnya lagi, kepimpinan parti terus mengadakan mesyuarat bagi membuat penyesuaian kepada jadual acara termasuk langkah-langkah keselamatan.

Jemputan kepada perdana menteri ke rumah terbuka Gerakan adalah amalan parti itu setiap tahun, tambah Lau.

“Ini memang tradisi Gerakan. Tolong jangan buat apa-apa spekulasi,” katanya, ketika ditanya mengapa Dr Mahathir bersetuju untuk hadir tahun ini.

“Gerakan sambut siapa sahaja yang percaya kepada kerjasama bekerja untuk rakyat, dan juga dalam menggalakkan perpaduan negara.”

Gerakan keluar dari Barisan Nasional (BN) pada Jun 2018, tidak lama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 yang menggulingkan kerajaan yang berkuasa selama lebih 60 tahun.

Parti itu kalah bagi semua kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya umum pada Mei 2018.

Gerakan meletakkan calon pada pilihan raya kecil Tajung Piai yang diadakan November tahun lalu, sebagai cubaan untuk melihat sejauh mana sokongan pengundi terhadap parti itu.

Dalam pertandingan enam penjuru itu, calon Gerakan Wendy Subramaniam memperoleh jumlah undi ketiga terbanyak tetapi masih jauh di belakang calon BN dan Pakatan Harapan. PRK Tanjung Piai dimenangi oleh Wee Jeck Seng dari BN. 

Tinggalkan komen anda