Dr Mahathir ucap Selamat Hari Ponggal


shadow

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengucapkan selamat menyambut perayaan Ponggal kepada seluruh masyarakat India di negara ini.

Dalam satu video pendek yang dimuat naik di laman YouTube, pemimpin beursia 94 tahun itu berharap agar pesta Ponggal tahun ini akan membawa kemakmuran.

“Ponggal dalam bahasa Tamil bererti ‘melimpah ruah’. Selamat Hari Ponggal, semoga tahun ini memberi kemakmuran yang melimpah ruah untuk semua, terima kasih,” katanya.

Terdahulu hari ini, surat pekeliling Kementerian Pendidikan tular hari ini, yang memaklumkan keputusan Jakim mengharamkan umat Islam meraikan sambutan Ponggal.

Surat bertarikh 13 Januari itu ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) Adzman Talib, yang merujuk keputusan Mesyuarat Panel Pakar Syariah pada April tahun lalu.

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata Ponggal akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum untuk belajar mengenai budaya rakan dan jiran dari masyarakat India.

Menurutnya sambutan itu memperkukuhkan lagi masyarakat majmuk dan melambangkan keunikan Malaysia.

Timbalan presiden PKR itu berkata, Ponggal suda diraikan sejak berzaman dan ia menandakan berakhirnya musim menuai.

Tinggalkan komen anda