‘Dr Maszlee juga ada lakukan perkara baik’


shadow

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa beliau menasihati menteri pelajaran itu supaya berundur daripada kabinet tetapi menegaskan bahawa ia bukan disebabkan beliau sudah melakukan banyak kesalahan.

Sebaliknya, kata Dr Mahathir, sepanjang memegang jawatan, Maszlee juga ada melakukan perkara baik.

Adalah dilaporkan sebelum ini bahawa surat yang dikatakan ditulis oleh Dr Mahathir mendedahkan bahawa Maszlee diminta untuk berhenti kerana gagal mematuhi arahan kabinet dan sering meletakkan Putrajaya dalam kedudukan yang sukar.Iklan

“Sekarang saya fikir surat kepadanya (Maszlee) itu telah didedahkan oleh beberapa individu yang tidak bertanggungjawab dan kamu dapat melihat terdapat banyak sebab.

“Saya tidak kata bahawa semua yang dia lakukan adalah salah. Ada juga perkara yang dia buat itu betul tetapi ada alasan lain yang saya merasakan dia perlu meletakkan jawatan dan dia bersetuju dan dia letak jawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Putrajaya, hari ini.

Mahathir juga ditanya wartawan mengenai siapa yang bakal mengisi jawatan menteri pendidikan.

“Bagi pengisian jawatan menteri pendidikan ini akan ditentukan oleh saya kerana ini adalah kuasa prerogatif saya,” katanya.

Maszlee yang juga ahli parlimen Simpang Renggam mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri pendidikan, Khamis lalu.

Tinggalkan komen anda