Guru wanita mengaku salah sembunyi harta hasil penipuan


shadow

MELAKA: “Kita tidak boleh mudah percayakan orang kerana ada sahaja cara orang hendak menipu kita. Jadi cikgu, saya juga mengingatkan diri saya sendiri, kita kena ambil pengajaran dari apa yang berlaku.

“Saya juga pernah dihubungi individu yang mendakwa dari Mahkamah Putrajaya sedangkan itu hari Ahad,” kata Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh ketika prosiding perbicaraan seorang guru, Haslina Mohd Dewa, 48, di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini sebelum menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadapnya.

Tertuduh yang juga seorang guru di sebuah sekolah menengah di Seremban, Negeri Sembilan dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyembunyikan dan mengalihkan harta melalui akaun bank pada Julai dan Ogos tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 17 Julai hingga 2 Ogos tahun lalu antara jam 11.12 pagi hingga jam 4.39 petang di Hospital Melaka didakwa secara tidak jujur menyembunyi dan mengalihkan harta melalui akaun Hong Leong Bank  milik sendiri iaitu wang hasil penipuan tipu urusan jual beli kereta daripada P Subahtra, berjumlah RM23,200.Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Raudhah Mazman memohon hukuman yang setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

Manakala, tertuduh yang diwakili peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh bagaimanapun memohon hukuman diringankan dengan mengambil kira tertuduh telah 22 tahun berkhidmat sebagai pendidik, selain menanggung empat anak berusia 25, 21,19 dan 13 tahun.

Sejurus mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mohamad Izwan kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan 12 bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

  • astro Awani

Tinggalkan komen anda