Iraq akan panggil duta Iran berhubung serangan pangkalan tentera


shadow

KEMENTERIAN Luar Iraq pada Rabu berkata ia akan memanggil duta Iran berhubung serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera di negara itu yang menempatkan tentera Amerika Syarikat (AS) dan tentera pasukan gabungan, lapor agensi berita China Xinhua.

Kenyataan kementerian itu menyebut ia menolak serangan peluru berpandu oleh Iran dan menganggapnya sebagai satu pencabulan terhadap kedaulatan Iraq sambil menggesa semua pihak yang berkaitan agar bertenang serta berusaha untuk meredakan ketegangan.

Kementerian itu membuat kenyataan tersebut selepas Iran menembak peluru berpandu balistik pada Selasa ke atas pangkalan tentera yang menempatkan tentera AS di wilayah barat Anbar dan berhampiran bandar Erbil, yang merupakan ibu kota wilayah separa autonomi Kurdistan.

Minggu lepas, sebuah dron AS menyerang konvoi tentera elit Iran berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad, yang menyebabkan Qassem Soleimani, komander tertinggi Kor Pengawal Revolusi Islam Iraq, dan Abu Mahdi al-Muhandis, naib ketua pasukan separa tentera Hashed Shaabi, terbunuh.

Lebih 5,000 anggota tentera AS telah dihantar ke Iraq untuk membantu tentera negara itu memerangi militan Daesh.

Tinggalkan komen anda