Janin manusia antara sampah di Sungai Selangor yang pernah dikutip Masbudi


shadow

KUALA SELANGOR: Apabila berhadapan dengan kritikan pelancong ketika menelusuri Sungai Selangor untuk melihat kelip-kelip di Kampung Kuantan, seorang pemuda tidak menunggu lama untuk mengambil langkah pertama mengutip sampah di sungai itu.

Kata Masbudi Malek, 33 tahun, yang bekerja sebagai seorang pemandu pelancong, inisiatif membersihkan sungai tercetus apabila kerap disapa dengan soalan yang sama.

“Ia hasil daripada teguran pelancong. Apabila mendayung sampan, saya ditegur kenapa banyak sampah?’” katanya.

Percaya atau tidak, antara sampah yang pernah dikutipnya termasuklah lampu isyarat trafik, mesin basuh, malah janin manusia.Pada tahun 2019 sahaja, sebanyak lima tan sampah-sarap dikutip manakala 1.5 tan sampah pernah dikutip dalam masa satu jam setengah.

Melakukan kerja yang murni seperti itu, sebetulnya tidak mudah untuk ditempuh oleh Masbudi, kerana dia tidak terlepas daripada dikritik oleh orang sekeliling.

Katanya, pada awalnya dia dipandang rendah kerana melakukan kerja-kerja pembersihan sungai.

“Mula-mula saya cuba seorang diri, namun orang kampung pula kata: “Ini bukan kerja kau, ini kerja pihak berkuasa,” kata Musbadi menyambung perbualan.

Bagaimanapun, usaha murni Musbadi itu lama kelamaan mula mendapat sokongan orang ramai dan kini beliau bekerjasama dengan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Persatuan Pendayung Kuala Selangor bagi meneruskan kerja-kerja pembersihan itu.

“Saya mula dapat inspirasi kerana saya sendiri pelancong juga dan apabila kita melancong, kita nak pergi ke tempat cantik. Kita perlu letakkan diri sebagai pelancong yang datang ke sini,” katanya.

Tiada kelip-kelip, jejas seluruh ekonomi komuniti

Pencemaran sungai sebetulnya sangat membimbangkan seluruh masyarakat kampung itu yang banyak bergantung kepada ekopelancongan di kampung itu.

Bagi Masbudi, populasi kelip-kelip itu merupakan periuk nasi kepada masyarakat Kampung Kuantan.

Kajian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mendapati populasi kelip-kelip antara 2006 hingga 2016 menurun sebanyak 42 peratus.

Pada 2018, FRIM mencadangkan agar zon penampan diluaskan sekurang-kurangnya 50 meter pada kedua-dua belah tebing sungai bagi memelihara pokok berembang, sago dan nipah yang menjadi sumber makanan dan habitat bagi serangga tersebut.

“Apabila tiada kelip-kelip, ia boleh menjejaskan ekonomi seluruh masyarakat,” kata Masbudi.

Tambah beliau, citarasa pelancong juga sudah berubah apabila kini mereka lebih gemar mengenali budaya dan kegiatan ekonomi komuniti setempat.

Antara aktiviti yang dilakukan beliau adalah penyemaian biji benih pokok bakau yang bukan sahaja mendidik pelancong tentang kesukaran untuk menanam pokok, malah ia secara tidak langsung turut memastikan orang ramai lebih menghargai alam sekitar secara keseluruhan.

Ikuti kisah Masbudi yang ditemui oleh Hakim Rahman dan Nailah Huda dalam segmen Poskod@Awani yang merupakan program sempena Tahun Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020.

  • astro Awani

Tinggalkan komen anda