Jimat RM1.1 bilion tahun 2020 lepas struktur semula PLUS, kata Guan Eng


shadow

KEPUTUSAN kerajaan untuk menstruktur semula PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bukan sahaja menyaksikan pengguna bakal menikmati penurunan kadar tol sebanyak 18 peratus, malah semua pihak yang terlibat akan mendapat jumlah penjimatan sehingga RM1.1 bilion secara langsung untuk tahun 2020.

 Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata ia melibatkan penjimatan sebanyak RM0.5 bilion daripada diskaun 18 peratus dan juga penjimatan RM0.6 bilion daripada bayaran pampasan kerajaan untuk membekukan kenaikan kadar tol. 

Katanya bayaran pampasan sebanyak RM0.6 bilion itu boleh disalurkan kepada projek-projek kebajikan dan pembangunan ekonomi di seluruh negara dan tidak lagi digunakan untuk manfaat pengguna lebuh raya dan syarikat konsesi sahaja.

Lim berkata semalam Jemaah Menteri telah mengesahkan keputusan kerajaan untuk menstruktur semula PLUS berdasarkan cadangan yang dikemukakan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

“Jemaah Menteri semalam juga telah mengarahkan supaya satu mesyuarat tergempar diadakan antara semua pemegang taruh pada hari yang sama selepas mesyuarat Jemaah Menteri untuk memastikan keputusan kerajaan mengenai penstrukturan semula PLUS dapat dilaksanakan secara lancar dan baik mengikut garisan masa yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Lim, mesyuarat pelaksanaan yang dipengerusikan beliau turut disertai Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya Badrul Hisham Mohd.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia Ir. Mohd Shuhaimi Hassan, Pengarah Urusan Khazanah Shahril Ridza Ridzuan, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias, serta pegawai-pegawai dari Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya, Khazanah dan KWSP.

Katanya mesyuarat tersebut telah mengesahkan tarikh pelaksanaan penurunan kadar tol iaitu bermula 1 Feb 2020 seperti yang diumumkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. 

Diskaun kadar tol sebanyak 18 peratus akan diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5 bagi Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) serta kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 bagi Jambatan Pulau Pinang.

Kadar tol untuk kelas kenderaan komersial akan terus kekal pada kadar tol semasa tanpa peningkatan sehingga tamat konsesi tol. 

Tinggalkan komen anda