Johor umum ‘rombakan’ libat 3 exco


shadow

KERAJAAN negeri hari ini mengumumkan penyusunan dan penstrukturan semula portfolio melibatkan tiga Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) yang baharu, berkuatkuasa hari ini. 

Penyusunan itu merupakan kali kedua sepanjang Pakatan Harapan (PH) memerintah negeri ini.

Menurut Pejabat Menteri Besar Johor, tiga exco yang terlibat dengan penyusunan semula itu ialah Adun Parit Yaani, Aminolhuda Hassan; Adun Semerah Mohd Khuzzan Abu Bakar serta Adun Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali. 

Aminolhuda, yang sebelum ini merupakan pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi kini akan memegang portfolio pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia.

Sementara Khuzzan yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan sebelum ini, kini memegang portfolio pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan.

Sheikh Umar yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum ini akan memegang portfolio pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Sains dan Teknologi.

Bagaimanapun, tujuh exco lain (tidak termasuk menteri besar) masih kekal dengan portfolio masing-masing. 

“Penyusunan semula portfolio ini bertujuan bagi memperkemas dan memantapkan bidang tugas exco-exco berkenaan. Rombakan ini juga dilakukan sebagai keperluan semasa yang selari dengan keadaan pentadbiran kerajaan negeri Johor,” menurut Pejabat Menteri Besar.

Tinggalkan komen anda