Karim Bujang calon Warisan bagi PRK Kimanis


shadow

KETUA Bahagian Kimanis Parti Warisan Sabah (Warisan) Karim Bujang diumumkan sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal membuat pengumuman berkenaan pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Warisan, PRK Parlimen Kimanis di Dewan Terbuka Membakut, hari ini.

Karim, 67, ialah calon Warisan bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018 tetapi kalah dengan marjoriti 156 undi kepada bekas menteri luar Seri Anifah Aman, yang ketika itu bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Karim memfailkan petisyen pilihan raya pada 18 Jun tahun lepas untuk mencabar keputusan pilihan raya itu.

Anifah kemudiannya keluar Umno, parti komponen BN dan menjadi wakil rakyat bebas.

Karim pernah menjadi ahli Dewan Undangan Negeri Bongawan selama lima penggal dari tahun 1990 hingga 2013 selain pernah menjawat jawatan kanan dalam Kabinet negeri Sabah sebagai pembantu menteri. 

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Shafie yang juga ketua menteri Sabah berkata Warisan memilih Karim sebagai calon parti itu selepas melihat perjuangan serta pendiriannya untuk mencabar keputusan bagi kerusi Parlimen Kimanis pada PRU14 di mahkamah.

Shafie berkata Karim adalah seorang pemimpin politik berpengalaman luas dan mempunyai semangat juang tinggi selain tidak pernah kalah dalam pilihan raya sebelum ini kecuali pada PRU14.

“Pada pilihan raya lepas (bagi kerusi Kimanis pada PRU14) ada isu berbangkit dan itu yang masuk mahkamah. Jadi, mahkamah putuskan bahawa perlu ada PRK… maknanya dia (Karim) tidak kalah.

“Jadi, dari segi perjuangan, pengalaman, saya mempertimbangkan secara dalam (untuk memilih Karim sebagai calon Warisan).

“Kita perlukan seorang daripada suku kaum Brunei yang berani bersuara lantang mengenai kepentingan masyarakat Brunei,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kimanis pada 18 Januari ini manakala penamaan calon pada 4 Januari dan pengundian awal pada 14 Januari.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Disember mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah bagi kerusi itu.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Anifah memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru. Calon lain dari Parti Harapan Rakyat Sabah meraih 1,300 undi.

Terdahulu, Shafie ketika berucap mahu ahli Warisan dan parti komponen Pakatan Harapan (PH) di Sabah termasuk Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bekerjasama dalam memastikan kemenangan Warisan dalam PRK Kimanis.

Sementara itu, Karim ketika ditemui berterima kasih kepada pucuk pimpinan tertinggi Warisan, UPKO dan PH Sabah atas kepercayaan diberikan kepadanya untuk kembali bertanding pada PRK itu.

Tinggalkan komen anda