Kedah sedia rumah transit untuk golongan ‘terdesak’


shadow

KERAJAAN Kedah mewujudkan Rumah Transit Negeri (RTN) sebagai ruang penginapan sementara kepada golongan ‘terdesak’ yang memerlukan perlindungan dalam aspek yang melibatkan pelbagai isu sosial.

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir berkata isu gelandangan, pengemis, kanak-kanak jalanan dan kes keganasan rumah tangga antaranya, merupakan sebahagian daripada fenomena dalam masyarakat yang tidak dapat dipisahkan daripada realiti kehidupan.

“Dalam memastikan kebajikan golongan ini terbela dan sentiasa mendapat perhatian, kerajaan negeri melalui Majlis Kebajikan Negeri Kedah (MKNK) menyalurkan peruntukan sebanyak RM150,000 setiap tahun (bermula 2020) bagi tujuan mengendali dan melaksanakan program RTN ini.

“Diharapkan melalui program ini, masyarakat setempat dapat mengambil peluang, manfaat dan sentiasa memberi sokongan demi kesejahteraan bersama,” katanya semasa merasmikan RTN pertama di Kedah di Jitra.

Katanya kemudahan RTN juga diharap akan dapat diperkembangkan ke daerah-daerah lain di negeri ini, bagi menampung keperluan yang dijangka akan menjadi lebih besar pada masa akan datang.

Mukhriz berkata bagi mereka yang memerlukan kemudahan berkenaan, permohonan boleh dibuat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan setiap pemohon akan dinilai terlebih dahulu sebelum diberi kebenaran untuk menginap sementara di RTN bagi tempoh maksimum selama 14 hari.

“Kemudahan ini akan dapat membantu meredakan keadaan kerana dalam keadaan terdesak dan mendesak, kita tidak mahu perkara tidak diingini berlaku, jadi buat sementara, ada tempat berlindung,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu juga merupakan antara pendekatan yang sangat baik dalam menyantuni semua lapisan rakyat melalui perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi-agensi dan rakan-rakan strategik di bawah kerajaan.

“Keterlibatan seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat malah mendekatkan barisan kepimpinan kerajaan untuk lebih peka dan prihatin dengan masalah rakyat,” katanya.

RTN Kedah mempunyai enam unit kediaman yang boleh menempatkan sehingga 36 penghuni dalam satu masa, yang dipantau oleh petugas khas dan dilengkapi dengan kemudahan asas termasuk makan serta minum.

Tinggalkan komen anda