Kekalkan semangat hormat-menghormati – Gobind


shadow

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menyeru setiap rakyat mengekalkan semangat hormat-menghormati antara satu sama lain bagi memperkukuh perpaduan di negara ini.

Beliau berkata sikap seumpama itu akan membolehkan masyarakat menjalani kehidupan yang bahagia dan bertambah maju.

“Kita rakyat Malaysia terdiri daripada latar belakang, budaya dan agama berbeza, tetapi apa yang menjadikan kita masyarakat yang kuat dan rapat adalah kita hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Kita perlu mengambil langkah supaya kita boleh pastikan bahawa semua rakyat Malaysia boleh meraikan adat-adat mereka, budaya mereka, keagamaan mereka dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada majlis perayaan Ponggal di Kuil Sri Maha Mariamman di sini, Rabu malam.

Turut hadir memeriahkan perayaan berkenaan ialah Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Dalam nada sama, Lim berkata semangat perpaduan dan toleransi yang ada dalam kalangan masyarakat selama ini perlu dikekalkan.

“Kita meraikan perayaan masing-masing bukan sahaja dengan hati terbuka, malah dengan rumah terbuka juga di mana kita makan bersama-sama. Itulah budaya Malaysia, kita raikan perayaan bersama-sama,” katanya.

Tambahnya, masyarakat majmuk di negara ini tidak sepatutnya terpengaruh dengan pihak tertentu menggunakan isu-isu yang boleh menjejaskan keharmonian.

Pada perayaan itu, kedua-dua menteri itu turut menyaksikan nasi manis yang dimasak dengan susu menggunakan periuk tanah sehingga ia melimpah, memberi simbolik limpahan rezeki pada masa hadapan.

Ponggal atau pesta menuai merupakan perayaan utama masyarakat India khususnya bagi golongan petani, dan jatuh pada bulan ke-10 dalam kalendar Tamil.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda