Kumpulan Hilman mahu kongres Pemuda PKR diadakan semula


shadow

SEKUMPULAN pimpinan Pemuda PKR diketuai timbalan ketuanya Muhammad Hilman Idham meminta Pendaftar Pertubuhan (RoS) menyiasat perjalanan kongres tahunan sayap itu di Melaka pada Disember lalu, yang tercemar dengan insiden kekacauan dan pergaduhan.

Mereka mendakwa Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 pada 6 Disember lalu tidak dijalankan dengan teratur dan profesional, dan meminta ia diadakan semula.

“Selaku pimpinan AMK, kami telah mengambil pendirian untuk melaporkan perjalanan Kongres Nasional AMK 2019 untuk diteliti oleh (RoS). 

“Kami juga merasa kesal dengan perjalanan Kongres Nasional AMK yang boleh dipertikai dan tidak mencerminkan profesionalisme yang sebenar,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.
 
Laporan kepada RoS itu disertakan bersama akuan sumpah, laporan polis dan dokumen-dokumen yang berkaitan, tambah kenyataan itu.

“Kami menegaskan bahawa Kongres Nasional AMK 2019 perlu diadakan semula atas bukti-bukti yang telah disertakan.”

Kenyataan dikeluarkan bersama oleh Hilman dan 18 anggota Majlis Pimpinan Pusat Pemuda PKR.

Hilman adalah juga setiausaha politik kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali, yang juga timbalan presiden PKR.

Menjelang kongres tahunan PKR Disember lalu, kumpulan yang sama mengeluarkan kenyataan bersama membantah keputusan Majlis Pimpinan Pusat Pemuda PKR tidak menjemput Azmin untuk merasmikan kongres tahunan sayap itu.

Dalam laporan kepada RoS, mereka juga meminta agensi itu meneliti kesahihan penyingkiran tujuh anggota Majlis Pimpinan Pusat Pemuda PKR dari jawatan, minggu lalu.

Mereka mendakwa penyingkiran itu tidak mengikut proses dan tidak demokratik.

Tindakan penyingkiran jawatan tujuh pemimpin itu, kata mereka, tidak selari dengan hasrat penyatuan dan muafakat kepimpinan, yang dipersetujui oleh pimpinan tertinggi parti susulan perselisihan antara kumpulan penyokong Azmin dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Tujuh anggota Majlis Pimpinan Pusat Pemuda PKR itu disingkir jawatan setelah tidak menjawab surat tunjuk sebab meminta mereka menjelaskan alasan tidak hadir mesyuarat majlis, kata Ketua Pemuda PKR Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Mereka didakwa tidak hadir mesyuarat enam kali berturut-turut tanpa alasan memuaskan.

Dalam pada itu, kumpulan 19 pimpinan diketuai Hilman turut menyatakan sokongan dan solidariti kepada Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin yang diberikan surat tunjuk sebab untuk diambil tindakan disiplin oleh parti.

Kelmarin, 46 pemimpin kanan PKR termasuk Azmin mengeluarkan kenyataan bersama mendesak agar surat tunjuk sebab kepada Zuraida ditarik balik. Antara 46 pemimpin itu termasuk 15 Ahli Parlimen PKR.

Anwar dalam reaksinya sebelum ini berkata pimpinan PKR tidak akan campur tangan dalam sebarang urusan dan proses lembaga disiplin terhadap Zuraida. 

Tinggalkan komen anda