Lelaki ugut tetak keluarga dengan kapak ditahan


shadow

POLIS menahan seorang lelaki kerana mengamuk dan mengugut mahu mencederakan ahli keluarganya dengan menggunakan kapak dalam kejadian di sebuah rumah di Penaga, di Kepala Batas semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata lelaki berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7.15 malam selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada adik lelaki suspek yang bimbang keselamatan mereka.

“Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, adik suspek berusia 22 tahun menerima panggilan telefon daripada ibunya memaklumkan lelaki tersebut sedang mengamuk dengan merosakkan barang dalam rumah mereka serta mengugut mahu membakar rumah jiran,” katanya dalam kenyataan, di Kepala Batas hari ini.

Beliau berkata lelaki itu terus pulang ke rumah dan sebaik tiba dia cuba menenangkan abangnya, namun suspek telah bertindak mengejarnya sehingga 20 meter dan mahu menetaknya dengan menggunakan sebilah kapak, bagaimanapun dia sempat melarikan diri serta terus membuat laporan polis.

Katanya hasil siasatan awal polis mendapati kejadian itu bukan pertama kali berlaku dan lelaki tersebut dikatakan kerap mengamuk selepas bercerai dengan isterinya sejak tahun lepas dan mengalami kemurungan.

Noorzainy berkata lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu juga selalu bertindak agresif dengan merosakkan barang di rumah keluarganya.

“Susulan penahanan lelaki itu, polis merampas kapak yang digunakan suspek semasa kejadian dan ujian air kencing mendapati dia negatif dadah. Hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek tiada rekod kesalahan dadah dan jenayah,” katanya dan menambah bahawa lelaki itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Tinggalkan komen anda