Lokman Adam gagal ketepi prosiding hina mahkamah


shadow

AHLI Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam hari ini gagal mengetepikan kebenaran yang diperoleh Peguam Negara Tommy Thomas bagi memulakan prosiding komital terhadap beliau atas dakwaan mengugut seorang saksi dalam perbicaraan kes berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Saksi itu merupakan bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin, yang merupakan saksi penting dalam kes berkenaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan Lokman itu selepas mahkamah berpuas hati bahawa fakta serta bentuk penghinaan yang didakwa berlaku, telah dibawa kepada perhatian responden (Lokman) dengan secukupnya.

“Malah perbuatan itu konsisten dengan temuramah video serta tindakan membuat laporan polis terhadap saksi pendakwaan kelapan itu (Amhari Efendi),” katanya.

Hakim juga menetapkan bahawa Notis Tunjuk Sebab mengenai prosiding komital boleh dikeluarkan oleh pihak lain kepada orang yang didakwa melakukan penghinaan, selain daripada mahkamah.

Dalam prosiding terdahulu, peguam Lokman, Muhammad Shafee Abdullah dalam hujahnya berkata Notis Tunjuk Sebab itu telah dikeluarkan oleh Bahagian Undang-undang dan Pendakwaan, Ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kepada anak guamnya.

Bagaimanapun menurutnya badan itu tidak mempunyai kuasa mahupun bidang kuasa untuk berbuat demikian, dan hanya mahkamah yang memiliki kuasa serta bidang kuasa itu untuk mengeluarkan notis berkenaan dan memanggil responden untuk memberikan penjelasan berhubung perbuatan yang didakwa menghina mahkamah itu.

Hakim Sequerah menetapkan tarikh 13 Mac untuk mendengar prosiding komital dan 21 Februari ditetapkan sebagai tarikh pengurusan kes.

Hakim turut mengetepikan permohonan Shafee untuk menangguhkan prosiding sementara menantikan rayuan terhadap keputusan hari ini yang dibawa ke Mahkamah Rayuan.

Shafee memberitahu mahkamah beliau menfail ‘certificate of urgency’ untuk Mahkamah Rayuan mendengar permohonan beliau dengan pantas.

Pada 22 Oktober lepas, Hakim Sequerah memberi kebenaran kepada peguam negara memulakan prosiding komital terhadap Lokman bagi perbuatan menghina mahkamah yang dikatakan dilakukannya dua kali pada 25 September lepas.

Dalam permohonan itu, peguam negara memohon perintah supaya Lokman dipenjara atau didenda atas perbuatannya.

Peguam negara berkata pada tarikh itu (25 September), responden dalam temu bual video telah mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau membawa maksud untuk mengugut saksi, Amhari Efendi kerana memberi keterangan dalam perbicaraan kes Najib di Mahkamah Tinggi.

Menurutnya pada hari yang sama, Lokman telah membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi yang merupakan saksi kelapan pihak pendakwaan, berhubung keterangan yang diberikannya pada perbicaraan kes Najib.

Peguam Negara juga berkata beliau akan memainkan rakaman video berhubung temu bual berkenaan pada pendengaran prosiding komital sekiranya mahkamah memberi kebenaran kepadanya untuk memulakan prosiding berkenaan.

Katanya, objektif atau tujuan tindakan responden adalah untuk mengganggu dan mengugut Amhari Efendi, saksi-saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi yang mungkin tampil untuk memberi keterangan terhadap Najib pada perbicaraan kes 1MDB.

Tinggalkan komen anda