Mahkamah tolak permohonan Jamal batal saman Teresa Kok


shadow

MAHKAMAH Tinggi hari ini menolak permohonan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos untuk membatalkan saman fitnah difailkan Menteri Perusahaan Utama Teresa Kok Suh Kim terhadapnya berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon membuat keputusan itu di dalam kamarnya selepas mendengar permohonan itu hari ini.

Peguam K. Murali yang mewakili Kok memberitahu pemberita, mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati tiada merit dalam permohonan yang difailkan Jamal selaku defendan.

“Mahkamah memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM3,000 dan perbicaraan kes saman itu akan diteruskan,” katanya dan menambah mahkamah menetapkan 14 Januari untuk pengurusan kes selanjutnya.

Jamal memfailkan permohonan itu pada 25 April tahun lepas atas alasan tiada kausa tuntutan yang munasabah dalam tuntutan plaintif (Kok).

Pada 6 April 2017, Kok memfailkan saman mendakwa Jamal telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana YAWAS ketika mengadakan sidang media pada 8 Mac, 2017.

Dalam penyataan tuntutan, Kok mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk dalam laman sosial Facebook milik Jamal.

Ahli Parlimen Seputeh itu mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan.

Tinggalkan komen anda