Mais: Syiah semakin kuat di Selangor


shadow

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mendakwa gerakan ajaran Syiah di negeri itu kini semakin kuat dan mencetuskan kebimbangan.

Pengerusinya, Mohammed Khusrin Munawi, berkata lebih parah lagi apabila ajaran itu turut disebarkan melalui media sosial yang menyukarkan usaha menyekatnya.

“Dari semasa ke semasa, ajaran Syiah dilihat semakin kuat dan makin bercambah.

“Sekiranya dahulu mungkin kita kesan hanya dua atau tiga pusat kegiatan (ajaran Syiah) di Selangor, tetapi sekarang ini ia bertambah. Mungkin ada 14 hingga 15 (pusat) di beberapa tempat seperti Puchong, Gombak dan Klang,” katanya yang dipetik Bernama.

Ajaran Syiah dianggap bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) dengan kebanyakkan negara memfatwakan ia sebagai haram.

Selangor turut mengharamkan ajaran Syiah di negeri itu.

Sementara itu, Khusrin berkata, Mais percaya pertambahan bilangan kumpulan dan pengikut Syiah itu ekoran bantuan pihak tertentu untuk mengembangkan kegiatan mereka.

“Penyebaran ajaran Syiah dalam media sosial juga menjadi satu cabaran kepada Mais untuk mengekangnya, selain kesukaran mengesan pengikut ajaran berkenaan kerana mereka tidak akan mengaku mereka (mengamalkan) ajaran Syiah.

“Selain amalan mereka juga tidak banyak berbeza daripada kita yang berpegang kepada ajaran ASWJ,” katanya lagi.

Jelas Khusrin, Mais dan agensi berkaitan di Selangor akan terus mempergiatkan usaha memantau gerakan ajaran Syiah dan memberi penerangan bahaya ajaran itu kepada orang ramai, terutama di sekolah dan masjid di seluruh negeri.

Sementara itu dalam isu berlainan, Khusrin menggalakkan umat Islam di Selangor mengadakan solat hajat dan doa selamat susulan kes koronavirus yang dikesan di Malaysia.

“Tiada arahan rasmi dikeluarkan untuk mengadakan solat hajat, tetapi kita galakkan umat Islam melakukan solat tersebut,” jelasnya.

Tinggalkan komen anda