Malaysia yakin insiden culik nelayan Indonesia diselesai dengan baik


shadow

MALAYSIA yakin insiden penculikan nelayan warga Indonesia di perairan Sabah akan dapat diselesaikan dengan baik melalui kerjasama keselamatan serantau bersama Indonesia dan Filipina.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang kini dalam rangka lawatan ke Indonesia menyampaikan keyakinan Malaysia itu kepada rakan sejawatnya Prabowo Subianto dalam pertemuan empat mata di Jakarta, hari ini.

Pada pertemuan itu, kedua-dua menteri yakin jalan penyelesaian yang berkesan dalam isu ancaman keselamatan maritim itu ialah Perjanjian Kerjasama Tiga Pihak (TCA) antara Malaysia, Indonesia, dan Filipina.

“Mohamad juga menekankan keseriusan Malaysia dan memberi jaminan komitmen Malaysia khususnya Angkatan Tentera Malaysia untuk menjaga keselamatan di kawasan terlibat,” kata Kementerian Pertahanan (Kementah) dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Kementah, kedua-dua menteri juga setuju untuk bertemu Setiausaha Pertahanan Filipina, Deflin Lorenzana di luar Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean bulan depan bagi membincang cara mengukuhkan perjanjian sedia ada.

Pada Khamis minggu lalu, lima nelayan warga Indonesia diculik di perairan Tambisan, dekat Lahad Datu, Sabah, mengulangi insiden sama di lokasi yang berdekatan pada Jun dan September tahun lalu.

Kejadian itu berlaku tidak sampai 24 jam selepas nelayan yang diculik pada September dibebaskan dan ditemukan semula dengan waris dan ahli keluarga di Jakarta.

Semalam, Menteri Luar Indonesia Retno LP Marsudi memanggil Duta Besar Malaysia ke Jakarta, Zainal Abidin Abu Bakar dan wakil Kedutaan Filipina, selepas 44 warga Indonesia keseluruhannya diculik dalam 13 insiden berlainan sejak 2016.

Menteri Pertahanan Malaysia pada masa itu ialah Hishammuddin Hussein, yang memegang jawatan antara 2013 dan 2018.

“Kita mahu Malaysia memberi perhatian dan meningkatkan keselamatan di kawasan perairannya, kerana kita ada kerjasama tiga pihak. 

“Kita juga menyatakan komitmen untuk mengekalkan keselamatan perairan dalam wilayah masing-masing,” kata Retno seperti dipetik The Jakarta Post, hari ini.

Sementara itu, The Jakarta Post turut memetik Zainal memberi jaminan pihak berkuasa Malaysia sedang menangani isu keselamatan ini sedaya mungkin yang terbaik.

Beliau juga mengingatkan keadaan perairan di Sabah yang luas dan usaha-usaha yang sudah dilakukan oleh pihak berkuasa di Malaysia, dan berpendapat ia boleh diperbaiki termasuk kerjasama antara tiga negara.

Pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Eescom) mengenakan perintah berkurung di kawasan perairannya antara 6 petang hingga 6 pagi bagi mengurangkan risiko culik oleh kumpulan Abu Sayyaf.

“Kadang-kadang susah untuk mengawal kawasan itu kerana nelayan sendiri tidak mengikut peraturan. Mereka jadi sasaran yang mudah.

“Ini antara yang kita perlu lihat untuk menasihatkan mereka dan menghentikan kejadian ini daripada berulang,” katanya.

Sementara itu, mengenai lawatan Mohamad ke Jakarta, Kementah berkata lawatan itu bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala pertahanan antara kedua-dua negara.

“Malaysia dan Indonesia berkongsi hubungan dua hala yang erat dan lawatan ini langkah mustahak mengukuhkan ikatan persahabatan sedia ada,” kata kenyataan itu.

Dalam lawatannya, Mohamad turut menjemput Prabowo untuk hadir ke Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia, dan persidangan Keselamatan Nasional Asia 2020 di Kuala Lumpur pada April ini.

Tinggalkan komen anda