MAQIS rampas daging wagyu dari Korea tanpa dokumen sah


shadow

GEORGE TOWN: Tindakan seorang wanita warga Korea membawa masuk daging wagyu ke negara ini tanpa sebarang dokumen yang sah membawa padah apabila daging itu di rampas  Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Daging seberat 22.10 kilogram dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas pada Jumaat malam dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, wanita berusia lingkungan 40-an itu tiba di balai ketibaan LTAPP pada pukul 10.15 malam dengan membawa masuk daging wagyu itu menggunakan dua bekas polisterin.

Wanita berkenaan, kata Zarina, mendakwa daging-daging berkenaan untuk kegunaan sendiri.Kesemua daging dianggarkan bernilai RM6,000 itu dirampas dan akan dilupuskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menurut Zarina, daging itu dirampas kerana tiada sebarang dokumen yang sah seperti permit import daripada MAQIS dan sijil kesihatan dari negara asal.

Beliau berkata, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import yang sah daripada MAQIS adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta MAQIS 2011 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) Akta yang sama.

Katanya, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Tinggalkan komen anda