Maszlee jadi kambing hitam, kata Najib


shadow

BEKAS perdana menteri Najib Razak mendakwa Maszlee Malik dipaksa meletak jawatan sebagai menteri pendidikan, lapor Malaysiakini.

Malah Najib berseloroh Maszlee “akhirnya jadi kambing hitam selepas memperkenalkan pemakaian kasut hitam”.

“Isu sebenarnya memperlihatkan masalah dalaman yang dihadapi kerajaan Pakatan Harapan.

“Dia (Maszlee) disuruh letak jawatan, bukan dia (mahu) letak jawatan, (sebaliknya) disuruh letak jawatan kerana tekanan dari luar dan juga dari dalam,” Najib dipetik berkata ketika melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Membakut petang tadi.

Menerusi catatan di Facebook semalam ahli Parlimen berkata mempersoalkan adakah peletakan jawatan Maszlee ada kaitan dengan penamatan projek pembekalan Internet di sekolah.

Semalam, Maszlee menyebut tiga isu yang menjadi antara sebab beliau meletakkan jawatan sebagai menteri pendidikan.

Tiga isu itu ialah pengajaran Jawi di sekolah jenis kebangsaan, pembekalan kemudahan Internet di sekolah dan program sarapan percuma.

“Isu Jawi kita ketahui secara umum.

“Isu sarapan percuma ini baru bermula apabila hanya sebahagian kecil dari semua sekolah melaksanakan sarapan percuma hari ini.

“Isu internet sekolah ini yang menjadi tanda tanya besar. Adakah ini ada kaitan dengan penamatan projek internet YTL-Bestarinet di bawah Maszlee?” tulis Najib di Facebook semalam.

Bekas perdana menteri itu merujuk kepada syarikat telekomunikasi YTL Communications Sdn Bhd yang mendakwa kerajaan mungkir janji untuk mengadakan tender terbuka bagi perkhidmatan Internet ke sekolah. 

YTL dalam satu kenyataan pada Julai lalu berkata kontrak pembekalan diberi kepada syarikat pesaingnya selepas melabur lebih RM4 bilion untuk membina infrastruktur di sekolah. 

Tinggalkan komen anda