Mat Sabu tak langgar janji beri pangkat kehormat, kata Kementah


shadow

KEMENTERIAN Pertahanan menafikan dakwaan bahawa Menteri Mohamad Sabu melanggar janji dengan memberikan pangkat kehormat kepada ahli politik.

Dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini, ia menyebut pelantikan menteri besar sebagai penaung Jawatankuasa Penaung Askar Wataniah (Jakpaw) adalah kerana kedudukannya sebagai ketua pentadbiran negeri.

“Pangkat yang diberikan kepada penaung Jakpaw adalah atas kapasiti kedudukan jawatan yang disandang yang melayakan mereka diberi pangkat kehormat dan bukanya atas kapasiti latarbelakang parti politik,” katanya merujuk kepada situasi pangkat kehormat itu turut diberikan kepada ketua pentadbiran negeri pembangkang.

Hishammuddin Hussein sebelum ini dilaporkan mempersoal tindakan Mohamad memberikan pangkat kehormat kepada Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun. Selain itu Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali turut mendapat pangkat kehormat itu.

Pada Julai 2019, Mohamad turut didakwa melanggar janji untuk menghentikan amalan memberikan pangkat kehormat ketenteraan kepada ahli politik.

Tuduhan itu dibuat selepas Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari diberikan pangkat brigediar jeneral (kehormat) dalam tentera kerana kapasiti mereka selaku penaung Jakpaw di negeri masing-masing.

Amirudin adalah pengerusi Pakatan Harapan Selangor manakala Adli adalah pengerusi Amanah Melaka.

Kementerian berkata pelantikan mereka sebagai penaung Jakpaw dibuat dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, seperti diperlukan menurut Seksyen 198 Akta Angkatan Tentera 1982 dan Majlis Angkatan Tentera.

“Jakpaw merupakan suatu jawatankuasa peringkat negeri yang ditubuhkan di setiap negeri bagi menggalakkan penyertaan rakyat dalam pasukan sukarela iaitu Angkatan Simpanan Persekutuan (ASP).

“Jakpaw berperanan memberikan sokongan dan kerjasama untuk mempromosi dan menggalakan penyertaan orang awam melalui komitmen majikan serta merancang semua jenis bantuan seperti kem gunasama kepada ASP di setiap negeri.

“Penaung Jakpaw di setiap negeri adalah menteri besar/ketua menteri. Dan mereka dilantik oleh menteri pertahanan menerusi kelulusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) dengan diperuntukkan pangkat Brigediar Jeneral (Kehormat),” kata kenyataan itu lagi.

Tinggalkan komen anda