Membebaskan media, akhirnya


shadow

BERGANTUNG bagaimana orang melihatnya, sektor media Malaysia kini mara beberapa langkah dalam perjuangan 45 tahun mahu mengawal dirinya sendiri, sementara pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bergerak ke depan mengotakan janjinya.

Kedua-duanya wajar diraikan, ketika di negara ini sebuah langkah kecil biasanya adalah satu langkah besar.

Sudah banyak yang diharungi oleh media Malaysia sejak bertahun-tahun – bermula sebagai perusahaan swasta yang kemudian dibeli oleh parti politik dan digunakan sebagai jurubicara, sampailah kepada wartawannya diperalat, ditunggang dan dicampak ke lokap demi keselamatan sendiri atau dipanggil mengadap untuk menjelaskan laporan mereka.

PH berkempen untuk membebaskan sektor media. Dalam masa 20 bulan yang lalu, Menteri Komunikasi dan Multi Media Gobind Singh Deo dan penasihat media perdana menteri, A. Kadir Jasin bertungkus lumus berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk sampai ke tahap hari ini – sebuah jawatankuasa sementara dibentuk untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia (MMM).

Kita wajar berterima kasih kepada Gobind dan Kadir kerana membawanya sampai ke peringkat ini dalam masa 20 bulan, berbanding langkah kura-kura sejak 1974.

Dua belas wakil media, termasuk saya, akan bersama-sama lima lagi wakil sektor media dan kerajaan untuk melihat lima bidang utama iaitu matlamat dan fungsi majlis, perlembagaan dan keahliannya, kod etika, kaedah penyelesaian pertikaian dan peruntukan am termasuk memeriksa undang-undang sedia ada.

Kami diberi masa dua bulan untuk melakukannya, ketika sektor media kini berdepan cabaran keuntungan menyusut dan pembaca yang merosot, namun pada masa sama sedang diberikan perhatian kerana kesedaran mengenai berita palsu dan propaganda semakin meningkat.

Jangan lagi kita bersorak dan mengucap tahniah kepada mereka yang dilantik ke jawatankuasa sementara ini. Belum lagi. Tugasnya ialah mengemukakan sesuatu yang menyeluruh dan boleh dilaksanakan, yang diterjemahkan daripada cita-cita dan kebimbangan semua pihak yang terlibat – wartawan, pengarang, penerbit, wakil rakyat, penjawat awam, dan akhirnya, rakyat Malaysia.

Dalam erti kata lain, jawatankuasa ini cuba mencapai impian untuk mencipta sesuatu yang munasabah dan harapnya ia bukanlah sesuatu yang jelek. Semua ini dilakukan ketika dunia dan negara ini memerlukan kewartawanan yang profesional dan bertanggungjawab.

Malaysia memerlukan media yang bebas dan bertanggungjawab. Majlis Media Malaysia adalah satu langkah ke arah itu. Sejak sekian lama, media dibentuk oleh kepentingan politik dan perniagaan, yang kemudiannya memperalatkannya.

Namun teknologi dan pembaca yang semakin canggih mengetepikan media cetak sementara media penyiaran bersaing dengan media digital, manakala perkhidmatan penstriman, portal dan media sosial memenuhi kehendak pasaran yang terpecah-pecah.

Cabarannya ialah untuk majlis ini kekal bebas dan bertanggungjawab, kepada media dan kepada khalayaknya – sehingga tidak akhirnya dilihat campur tangan atau tunduk kepada pengaruh ahli politik dan mereka yang ada kepentingan sendiri.

Tahniah Malaysia dan jawatankuasa sementara Majlis Media Malaysia jika itu dapat dilakukan, baik dalam masa dua bulan ini atau kemudiannya, demi Malaysia yang lebih baik yang kita semua harapkan.

Tinggalkan komen anda