Mustapa, Saifuddin antara disebut akan terajui KPM


shadow

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, antara individu disebut-sebut bakal menerajui Kementerian Pendidikan (KPM) susulan peletakan jawatan Dr Maszlee Malik, berkuat kuasa hari ini.

Selain bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, turut disebut sebagai antara calon yang layak berada di kementerian berkenaan adalah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata Mustapa yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Oktober 2018 berpengalaman luas dalam bidang pendidikan selain pernah menerajui pelbagai kementerian.

Beliau berkata, Mustapa pernah menjadi Menteri Pengajian Tinggi dan terbabit dalam pelbagai aspek pentadbiran.

“Tok Pa (Mustapa) dilihat tekun dan tabah dalam menghadapi cabaran kementerian dan jarang mengalah. Beliau bersedia mempelajari aspek baharu walaupun sudah lama berkhidmat sebagai menteri.

“Beliau yang memulakan, memajukan dan melonjakkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan proses pengantarabangsaan universiti selain disokong rakyat sebagai menteri yang mesra dan merendah diri,” katanya.

Penganalisis politik, Dr Ainul Adzellie Hasnul, berkata pengalaman luas kedua-dua pemimpin itu menerajui KPT selaku menteri dan timbalan, sebelum ini melayakkan mereka mengisi kekosongan jawatan berkenaan.

Katanya, Mustapa mempunyai rekod cemerlang sebagai Menteri Pengajian Tinggi dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang boleh dimanfaatkan di KPM.

Beliau berkata, Saifuddin juga amat disenangi warga KPT, selain mempunyai rekod cemerlang sebagai Menteri Luar.

“Menteri Pendidikan adalah jawatan kanan dan memerlukan menteri yang berpengalaman dan kedua-dua tokoh ini layak menerajui kementerian berkenaan,” katanya kepada BH semalam.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, turut menyifatkan Mustapa sebagai calon sesuai atas dasar pengalaman menerajui beberapa kementerian khususnya KPT.

Bagaimanapun, Mohd Izani yang juga Setiausaha Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT) berkata, tidak semestinya pengganti Maszlee dilantik dalam kalangan ahli politik.

“Calon juga boleh datang daripada tokoh dan mereka yang berpengalaman serta mempunyai kebijaksanaan dalam pendidikan. Perlu dilantik sebagai Senator. Ini juga bagus supaya ada percampuran secara strategik dalam Kabinet.

“Kita boleh lihat Indonesia melantik calon bukan ahli politik atau Ahli Parlimen. Bekas Naib Canselor universiti juga boleh dipertimbangkan untuk menerajui KPM,” katanya.

Sebagai mengambil langkah ke hadapan dengan peletakan jawatan Maszlee, Mohd Izani juga mencadangkan KPM dan KPT dipisahkan semula demi perancangan dan pengurusan pendidikan yang lebih baik.

Sebelum ini, tokoh pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad, yang ketika itu Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, dilantik Menteri Pendidikan pada tahun 1999 hingga 2004.

Tinggalkan komen anda