Op Ice Breaker: 247 ‘port’ digempur, 1609 penagih ditahan


shadow

LANGKAWI: Seramai 1,609 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah selepas pihak polis berjaya menggempur 247 sarang penagihan dadah di seluruh negara.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, kesemua yang ditahan dalam Op Ice Breaker fasa kedua yang bermula Jumaat.

Kesemua yang ditahan didapati melakukan pelbagai kesalahan berkaitan dadah termasuk membekal, memiliki serta disahkan positif dadah.

Tambahnya, pihak polis juga turut berjaya merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu seberat 2,833.4 gram, heroin (1,422.8 gram), ganja (416.8 gram), yaba (220.1 gram), pil erimin five (41.7 gram), serta daun ketum seberat 406,070 gram.

Nilai keseluruhan rampasan berjumlah hampir RM150,744.

“Kita telah menyerbu 247 (port penagihan) jadi kita telah menangkap seramai 181 orang satu Malaysia, yang terlibat mempunyai bekalan, bekalan ni bermakna mereka yang mempunyai dadah untuk diniagakan.

“Ini kategori tokan seramai 181 orang, sementara yang memiliki sedikit ialah 352 orang yang dituduh di bawah 12(2) dan Seksyen Akta Dadah Bahaya, manakala yang urin positif seramai 1012 orang, jadi ini terlalu ramai, dan mereka akan dituduh bawah seksyen 15(1),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Operasi Ice Breaker 2.0 di Kampung Bukit Malut, Langkawi, pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Khalil menegaskan seramai 69 individu ditahan termasuk lima orang wanita selepas pihaknya menggempur empat sarang penagihan di Pulau Langkawi.

Daripada jumlah terbabit, seramai 44 individu disahkan positif dadah dan 11 orang ‘tokan’ turut berjaya ditahan.

  • astro Awani

Tinggalkan komen anda