Paras empangan Pulau Pinang kritikal, penduduk mula berjimat guna air


shadow

PENDUDUK Pulau Pinang mula mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyimpan dan menjimatkan penggunaan air susulan pengumuman kerajaan negeri mengenai paras air mentah di dua empangan utama kini berada pada paras kritikal. 

Rata-rata yang ditemui The Malaysian Insight melahirkan kebimbangan situasi itu akan menjejaskan kehidupan seharian.

Mereka berharap kerajaan negeri akan menyediakan tangki air simpanan jika paras air empangan terus menurun ekoran musim kemarau.

Bagi Wan Maheran Ariffin, 59, dari Jelutong, beliau sudah mula berjimat dalam penggunaan air.

“Kalau sebelum ini guna mesin basuh setiap hari, sekarang hanya dua atau tiga hari sekali.

“Untuk menyiram pokok pula, saya guna semula air daripada paip yang bocor,” katanya dan berharap keadaan itu tidak kekal lama kerana bimbang menyebabkan catuan air.

Seorang penjawat awam, Muhammad Shahrizul Muiz, 27, berkata musim kemarau perlu dijadikan iktibar kepada semua agar lebih berjimat menggunakan air.

“Saya singkatkan waktu mandi. Pastikan pancuran air dibuka sedikit sahaja terutamanya semasa gosok gigi, cuci muka atau bercukur.

“Saya juga tukar paip berlubang kepada yang baru untuk elakkan pembaziran,” tambahnya.

Semalam, Pejabat Perbekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata simpanan air di Empangan Air Itam kini berada pada tahap 62% manakala Empangan Teluk Bahang 39.5%.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Jaseni Maidinsa berkata jumlah hujan yang rendah dan perubahan iklim merupakan sebab utama penurunan dramatik di dua empangan itu dan keadaan ini dijangka berlarutan hingga akhir Mac ini.

Ketika dihubungi, beliau berkata pihaknya akan mengeluarkan satu lagi kenyataan pada akhir Januari.

“Setakat ini, kita akan menghantar air dari Seberang Perai ke Empangan Pulau Pinang untuk mengekalkan paras air. Saya juga meminta semua penduduk menggunakan air dengan bijaksana.

“Jika peratus air menurun kepada 30%, kami akan menasihatkan kerajaan negeri melakukan pembenihan awan,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Pemerhatian The Malaysian Insight semalam (16 Januari), paras air di Empangan Teluk Bahang pada paras 38.9%, Air Itam (61.4%) dan Mengkuang (73.6%).

Seorang peniaga kuih di Projek Perumahan Rakyat Taman Manggis, Georgetown, Norzalehawati Abd Rahman, 34, harap kerajaan dapat menyediakan tangki simpanan air bagi penduduk di kawasan rumah flat. 

“Saya memang risau jika bekalan air terjejas. Memang tidak dapat berniaga apa-apa.

“Saya jual kuih pun perlukan air yang banyak termasuk untuk membasuh bekas kuih. Anak pun ada enam orang, susah juga nak berjimat,” tambahnya.

Tinggalkan komen anda