Peguam Jho Low berunding dengan DoJ kes 1MDB


shadow

PASUKAN peguam yang mewakili ahli perniagaan dalam pelarian Low Taek Jho kini sedang dalam “dialog terbuka dan konstruktif” dengan Jabatan Kehakiman (DoJ) berkaitan kes membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Amerika Syarikat (AS).

Low, atau Jho Low didakwa di New York atas kesalahan bersubahat untuk melakukan penggubahan wang haram berbilion dolar yang diselewengkan daripada 1MDB dan kerana bersubahat untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Asing.

Pihak berkuasa AS memberitahu Straits Times, rundingan untuk penyelesaian dengan mahkamah New York sedang diusahakan dan mungkin diselesaikan dalam tempoh beberapa minggu.

Ia selepas Low dan DoJ mencapai penyelesaian pada Oktober tahun lalu di mana beliau bersetuju menyerahkan tuntutan aset bernilai lebih AS$1 bilion yang didakwa dibeli menggunakan wang diselewengkan daripada 1MDB.

“Saya tidak boleh komen tentang perkara undang-undang (dalam prosiding AS), tetapi apa yang boleh saya kata ialah pasukan saya akan meneruskan dialog terbuka dan membina dengan DoJ, di mana undang-undang dihormati dan di mana individu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” kata Low kepada Straits Times menerusi temu bual menggunakan e-mel.

Dalam perbicaraan berkaitan 1MDb yang sedang berlangsung membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak, pihak pendakwa berhujah Low berpakat dengan Naib dalam menyeleweng wang daripada syarikat pelaburan negara itu.

Pembelaan Najib berkisar tentang naratif yang beliau diperdaya dan dimanipulasikan oleh pelbagai pihak, termasuk Low.

Loww berulang kali mendakwa serangan terhadapnya itu bermotifkan politik dan mengabaikan hak asasi manusia dan proses kehakiman yang adil.

“Tindakan sebenar kerajaan Malaysia bercanggah dengan kenyataan mereka, seperti memberitahu media yang mereka akan menjamin keselamatan saya dan saya akan dibicarakan secara adil,” katanya, merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Negara Police Abdul Hamid Bador.

Tinggalkan komen anda