Penubuhan Jakim sah ikut Perlembagaan, kata persatuan peguam


shadow

PENUBUHAN Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Jakim) adalah sah di sisi Perlembagaan, kata Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar berkata Jakim sama seperti agensi kerajaan pusat lain yang ditubuhkan secara pentadbiran tanpa melalui undang-undang.

Beliau berkata perkara itu merupakan kelaziman  dan tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan.

“Saya kekal berpandangan penubuhan dan operasi Jakim adalah sah di sisi undang-undang dan Perlembagaan. 

“Tiada apa salahnya (dengan status penubuhan) malah operasi Jakim ini seharusnya diperkemas dan dipertingkat lagi bagi menjaga Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama semua negeri-negeri di Malaysia selain Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas dakwaan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Hishamudin Yunus bahawa Jakim tidak sah di bawah Perlembagaan kerana tidak ada undang-undang membenarkan penubuhannya.

Terdahulu, Hishamuddin berkata Jakim yang wujud ketika ini ditubuhkan melalui keputusan pentadbiran dan pada awalnya ditubuhkan sebagai badan sekretariat bagi Majlis Raja-Raja Melayu.

Sekretariat itu bertujuan untuk menyelaraskan hal ehwal agama Islam di antara negeri-negeri Semenanjung, Sabah dan Sarawak kerana kuasa untuk meluluskan undang-undang agama berada di bawah kuasa mereka.

Jakim dalam bentuknya ketika ini diwujudkan pada tahun 1997 sewaktu Dr Mahathir Mohamad masih memegang jawatan perdana menteri melalui jabatan hal ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun tidak ada undang-undang yang membenarkan Jakim beroperasi dalam bentuknya ketika ini yang merupakan badan pengurusan hal ehwal Islam di peringkat kebangsaan, kata Hishamudin pada sebuah forum masyarakat sivil

Zainul berkata Jakim sebenarnya tidak mempunyai kuasa perundangan sama ada untuk mengambil tindakan seperti mendakwa orang Islam atas kesalahan jenayah syariah ataupun apa-apa kuasa negeri yang lain. 

Jelasnya Jakim sekadar merupakan badan yang mengambil peranan menyelaras dan menyeragamkan pengamalan Islam di antara negeri dan terpulang kepada negeri itu membuat keputusan sendiri.

Tambahnya, jika Jakim mempunyai kuasa perundangan sekali pun, ia tetap akan diberikan kepada pihak negeri atau kerajaan pusat.

“Situasi akan berbeza sekiranya Jakim bertindak di dalam perlaksanaan undang-undang jenayah syariah di luar Wilayah-Wilayah Persekutuan umpamanya kerana ia adalah bidang kuasa negeri,” katanya.

Namun beliau berkata sehingga  hari ini tiada sebarang campurtangan Jakim terhadap bidangkuasa negeri-negeri.

Hujahnya lagi Jakim juga sering diberi persepsi salah memandangkan diberikan dana yang banyak oleh kerajaan.

Beliau berkata dana tersebut bukanlah semata-mata digunakan oleh Jakim kerana sebahagian besarnya ia diagihkan untuk gaji para imam dan pegawai masjid yang berkhidmat di negeri dan ustaz  yang mengajar di sekolah satu Malaysia. 

“Ia bertujuan untuk membiayai dana pengembangan agama Islam di negeri-negeri seluruh Malaysia. 

“Ia bukan untuk Jakim semata-mata. Golongan ini perlu membuat kajian terlebih dahulu sebelum membuat dakwaan yang tidak mempunyai asas,” katanya.

Tinggalkan komen anda