Polis tunggu ujian kedua kes Adun Dengkil positif dadah


shadow

POLIS masih menunggu laporan patologi ke atas seorang Adun Selangor yang didapati positif dadah semasa ditahan bersama 15 individu di sebuah pusat hiburan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Mohd Khalil Kader Mohd menyebut siasatan patologi itu dibuat untuk saringan kedua memandangan ujian awal mendapati Adun Dengkit itu positif dadah.

“Apabila positif kita hantar kepada Jabatan Patologi untuk saringan kedua. Jadi kami masih menunggu keputusan daripada jabatan itu,” katanya dalam sidang media di Maktab Polis Cheras hari ini.

Adun Dengkil itu, Adhif Syan Abdullah kini digantung jawatan ketua Pemuda Bersatu.

Adhif Syan pada awalnya mendakwa berkunjung ke premis itu untuk berbincang dan menafikan ditahan polis.

Beliau yang juga ketua Pemuda Bersatu Selangor tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut ada kaitan dengan pemilihan parti yang diadakan tahun ini.

Turut digantung jawatan ialah Penolong Setiausaha Pemuda Bersatu Nasional Ahmad Redzuan Mohamed Shafi yang turut ditahan dan positif dadah dalam parti itu.

Individu lain yang dilaporkan ditahan ialah Timbalan Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Kau Git Kaur. Beliau kini digantung dari persatuan susulan kes ini.

Hanya seorang daripada kesemua 17 orang yang ditahan dalam operasi itu, seorang wanita, negatif dadah.

Dalam kejadian awal pagi 12 Januari lalu, sepasukan polis membuat serbuan ke atas pesta di kondominium tersebut selepas mendapat aduan bunyi bising daripada orang ramai.

Tinggalkan komen anda