Rina Harun mahu pertahan jawatan ketua Srikandi Bersatu


shadow

KETUA Srikandi Bersatu Rina Mohd Harun menyatakan beliau akan bertanding bagi mengekalkan jawatan itu dalam pemilihan parti yang dijangka diadakan tahun ini.

Kata menteri pembangunan luar bandar berkenaan, beliau memutuskan untuk terus mempertahankan jawatan berkenaan kerana memikirkan masih banyak lagi agenda berkaitan wanita yang perlu dilaksanakan.

“Saya ambil maklum dengan jawatan saya sekarang sebagai ketua Srikandi Bersatu dan saya ingin mempertahankan jawatan ini kerana masih banyak lagi agenda berkaitan wanita yang ingin saya laksanakan,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan Bersatu akan mengadakan pemilihan peringkat cawangan dan bahagian masing-masing yang dijadual berlangsung dari 25 Januari hingga 1 Mac serta 4 April ini.

Parti itu turut menetapkan 20 Jun ini untuk mengadakan Mesyuarat dan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu dan serentak dengan pemilihan berkenaan.

Ketika diminta mengulas mengenai peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan pada Jumaat lepas, Rina berkata keputusan yang dibuat oleh ahli Parlimen Simpang Renggam itu haruslah dihormati.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya tidak membesarkan perkara itu sebaliknya adalah lebih baik menumpukan kepada usaha untuk menangani isu negara yang lebih besar.

Katanya, beliau juga menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk memilih pengganti yang sesuai untuk mengisi jawatan berkenaan dalam masa terdekat.

Pada Khamis lepas, Maszlee mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan berkuatkuasa Jumaat selepas 20 bulan mengepalai kementerian itu.

Tinggalkan komen anda