Rosmah rujuk peguam isu rakaman didedah SPRM


shadow

ROSMAH Mansor menyerahkan kepada peguamnya mengenai rakaman perbualan yang didedahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, mengenai konspirasi memanipulasi maklumat kerajaan berkenaan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Rakaman turut mendedahkan perbualan telefon antara Rosmah dan suaminya, Najib Razak, mendesak bekas perdana menteri itu melindungi anak lelakinya, Riza Aziz daripada tuduhan salah laku berkaitan 1MDB.

“Peguam saya akan uruskannya,” kata Rosmah kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mohamed Zaini.

Ditanya sama ada rakaman perbualan tersebut benar-benar berlaku, Rosmah berkata: “Saya tak tahu.”

Rosmah hari ini menghadiri pengurusan kes bagi perbicaraan bersama melibatkan beliau dan bekas pembantunya, Rizal Mansor atas dakwaan menerima rasuah berkaitan projek solar untuk sekolah luar bandar Sarawak.

SPRM pagi tadi mendedahkan sembilan rakaman perbualan antara Najib dan pegawai tinggi kerajaan pada 2016. Salah satunya adalah rakaman sepanjang enam minit antara Najib dan Rosmah, yang dirakam pada 27 Julai 2016 pada jam 12.46 tengah hari.

Rakaman tersebut mengenai penyelesaian pertikaian dengan Mubadala dan IPIC di mahkamah.

Rosmah melahirkan rasa tidak puas hati mengenai tindakan ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu, Abu Kassim Mohamed, untuk menyiasat dan membuat kenyataan mengenai 1MDB.

Abu Kassim mengumumkan hasrat untuk meletak jawatan pada 23 Jun 2016 tetapi berbuat demikian pada 1 Ogos tahun itu.

Selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya pada Mei 2018, beliau dilantik sebagai ketua pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC).

Dalam rakaman perbualan dengan Najib, Rosmah mengarahkan suaminya itu mengadakan mesyuarat dengan CEO Mubadala Khaldoon Al-Mubarak untuk menyelesaikan pertikaian di mahkamah.

Berikut adalah petikan transkrip rakaman perbualan yang telah dimurnikan daripada perbualan asal dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, serta untuk kejelasan.

Rosmah: Hi

Najib: Hi

Rosmah: Apa cerita? Saya nak nasihatkan awak, boleh? Boleh tak saya nasihatkan sesuatu? 

Najib: Ya, ya… ada apa?

Rosmah: Awak masih tak dengar cakap saya. Mereka suruh awak berlembut (slow down) dengan Abu Kassim (bekas ketua SPRM Abu Kassim Mohamed) tapi Abu Kassim dah buat kenyataan (tidak jelas), siap ambil gambar dengan Pak Lah (bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi).

Mereka buat dia jadi macam hero, dan awak macam orang jahat. Semua lima orang ini kena tengok awak sebagai keutamaan mereka, bukan orang lain.

Najib: Siapa?

Rosmah: Yang di pejabat awaklah. Shahlan dah yakin, Tengku dah yakin, Amhari dah yakin. Macam kini ini semua orang jahat. 
(Tiga nama yang disebut adalah bekas pegawai Najib iaitu Shahlan Ismail (setiausaha politik), Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad (setiausaha akhbar) dan Amhari Efendi Nazaruddin (pegawai khas))

Najib: Tak, tak, tak… saya dah benarkan Azwan untuk buat kenyataan… dan impaknya dah bagus dah.

Rosmah: Okay, tetapi hari ini Abu Kassim dalam Berita Harian, ambil gambar dengan Pak Lah lagi. Dia berani berterima kasih pada Pak Lah dan orang lain, kecuali awak. Ini tak adil. 

Najib: Hmmm, hmmmm… faham, faham.

Saya dah tanda tangan surat pelantikan Dzul.

(Dzul merujuk kepada Dzulkifli Ahmad, yang menggantikan Abu Kassim sebagai ketua pesuruhjaya SPRM tiga hari kemudian pada 1 Ogos 2016. 

Dalam rakaman pertama yang didedahkan SPRM hari ini, Dzulkifli yang ketika itu berkhidmat di Pejabat Peguam Negara menghubungi Najib untuk memaklumkan bekas perdana menteri mengenai hasil siasatan terhadapnya.

Tinggalkan komen anda