Sarawak cadang kaji khidmat sewa apartment


shadow

KERAJAAN negeri Sarawak bercadang untuk menjalankan kajian mengenai perkhidmatan sewaan apartmen atau kondominium seakan Airbnb bagi menggalakkan lebih ramai pelabur atau pembeli dalam sektor perumahan.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata trend terkini orang ramai lebih memilih untuk tinggal di apartmen atau kondominium jika bercuti dengan keluarga selain tinggal di hotel.

“Trend sebegini sudah bermula di Australia, Eropah dan beberapa buah negara maju, jadi sudah tiba masa kita mengambil langkah sedemikian.

“Justeru itu, kerajaan negeri melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan akan melihat mana-mana apartmen yang berpotensi untuk disewakan bagi menyediakan kemudahan sedemikian,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Block Pandalela di P’Residence, Taman Desa Wira di Kuching, hari ini.

Abang Johari berkata untuk melaksanakannya kerajaan perlu menentukan beberapa syarat khas seperti lesen dan keselamatan untuk perkhidmatan itu.

“Kita akan buat kajian dulu dan melihat bagaimana negara jiran seperti Singapura melaksanakannya dalam menyediakan yang terbaik kepada pelancong,” katanya.

Pada majlis itu, ratu terjun negara Pandalela Rinong dihadiahkan seunit kondominium serta menerima kunci rumah sebagai pengiktirafan kepada kejayaan beliau dalam sukan renang di samping mengharumkan nama negara.

Tinggalkan komen anda