‘Seolah-olah negara tiada undang-undang’


shadow

“TIDAK kira siapa yang bersalah, kedua-duanya disiasat dan jika ada bukti, tindakan akan diambil,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau mengulas mengenai siasatan terhadap kes Exco Pemuda UMNO Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali Papagomo yang didakwa diserang sekumpulan lelaki.

Insiden berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Kota Kinabalu, baru-baru ini dan video mengenainya tular di media sosial.

Abdul Hamid berkata, ketika ini belum ada tangkapan dibuat dan siasatan masih diteruskan termasuk memastikan sama ada berlaku insiden pukul dan sebagainya.

“Yang saya dapat lihat daripada paparan video berkenaan adalah gambaran bagaimana beberapa individu begitu marah terhadap Papagomo.

“Perbuatan yang didakwa dilakukan Papagomo itu mencetuskan kemarahan mereka, jadi reaksi mereka bertempik, berteriak, menjerit-jerit di lapangan terbang sebagaimana dalam visual itu, pasti akan disiasat dan diambil tindakan.

“Dalam apa juga insiden, siasatan dan tindakan akan diambil, tidak ada yang terlepas,” katanya pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Dewan 1, Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Ipoh, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, kertas siasatan kes itu akan dihantar ke pejabat Peguam Negara sebelum menentukan sama ada kes layak didakwa berdasarkan bukti sedia ada atau tidak.

Katanya, pihaknya juga tidak menyebelahi mana-mana pihak dan menyiasat berdasarkan bukti mengikut undang-undang negara.

“Apapun, perbuatan itu adalah tidak sihat apatah lagi ia berlaku di lapangan terbang. Nampak tidak baik, seolah-oleh negara ini tidak ada undang-undang,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda