Siasatan Suhakam ke atas kehilangan pastor, isteri mulai 18 Februari


shadow

SIASATAN awam ke atas kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Sitepu akan diadakan bulan depan, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Suhakam dalam satu kenyataan berkata siasatan awam itu bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Suruhanjaya itu sebelum ini menjalankan dua siasatan awam ke atas kehilangan Pastor Raymond Koh dan pengasas Perlis Hope Amri Che Mat, yang kemudian merumuskannya sebagai kes kehilangan paksa.

Undang-undang hak asasi manusia mengklasikasikan kehilangan paksa sebagai seseorang individu ditangkap, diculik atau dipenjarakan secara rahsia oleh sesebuah organisasi, ejen kerajaan atau politik, atau pihak ketiga yang diberi kuasa oleh kerajaan atau organisasi politik.

Ini diikuti dengan keengganan untuk memaklumkan nasib dan keberadaan individu tersebut.

Joshua, asalnya beragama Islam sebelum menukar agama kepada Kristian. Beliau dan Ruth kali terakhir dilihat pada 30 November 2016.

Tidak banyak maklumat mengenai pasangan suami isteri ini, sehinggalah abang Ruth, Iman Setiawan Sitepu dan kakaknya, Ram Ram Elisabeth melaporkan kehilangan mereka pada 2018.

Keluarga Ruth tinggal di sebuah kampung nelayan di Nambiki di Sumatera Utara. Kali terakhir mereka bertemu pada November 2016. 

Ketika itu Ruth kelihatan gembira dan dia kebiasaannya akan menelefon keluarga sebanyak dua kali dalam sebulan, kata mereka kepada Suhakam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Suhakam berkata siasatan awam ke atas kehilangan Joshua dan Ruth akan bermula pada 8 Februari. Panel siasatan akan dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Hishamuddin Yunus dan dibantu oleh Pesuruhjaya Jerald Joseph dan Dr Madeline Berma.

Suhakam turut menyeru individu yang mempunyai maklumat penting berkaitan pasangan itu supaya tampil dan memberi keterangan.

“Melalui siasatan ini, Suhakam akan menyiasat sepenuhnya apa yang telah terjadi dengan sebaik mungkin bagi mengenalpasti dan membuat syor kepada pihak yang berkenaan.”

Tinggalkan komen anda