Sukar tangani perokok degil, kata pekerja kedai makan


shadow

LARANGAN merokok di tempat makan berkuat kuasa 1 Januari, tetapi masih ada pelanggan degil yang enggan mematuhi peraturan itu, menurut pengendali restoran.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight sukar untuk sentiasa menegur perokok degil kerana pengendali restoran atau gerai makan tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan.

Mereka mencadangkan Kementerian Kesihatan menempatkan pegawai penguat kuasa turun padang untuk memantau perokok yang melanggar peraturan itu.

Noorul Hassan Saul Hameed yang menguruskan Hassan Cafe Sdn Bhd di Setia Alam berkata respons diterima daripada pelanggan, bercampur-campur.

“Ada yang mematuhi peraturan. Pelanggan yang datang secara berkeluarga suka peraturan baharu itu kerana mereka lebih suka kawasan makan yang bebas asap rokok,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, individu yang biasanya enggan mematuhi peraturan itu, dan pelanggan yang sudah biasa menghisap rokok ketika makan.

“Sudah lebih setahun diperkenalkan peraturan itu, tetapi menghisap rokok di tempat makan adalah gaya hidup mereka. Saya fikir sukar untuk mereka mengubahnya dalam masa setahun,” katanya.

Katanya, kerajaan melakukan sesuatu yang tepat dengan memberikan tempoh kepada orang awam mengadaptasikan peraturan itu.

“Sebagai pemilik restoran kami dalam dilema. Kami percaya pelanggan selalu betul. Kami tampal tanda larangan merokok dan meletakkan risalah, tetapi masih ada yang tidak menghiraukan peraturan baharu itu,” katanya.

“Pekerja kami sukar mengawal perokok ini. Kami bukan pegawai penguat kuasa, kami penjual makanan. Kami tidak boleh terlalu mengawal pelanggan.”

Noorul Hassan berkata ada keperluan untuk menyediakan zon merokok seperti bilik khas di tempat makan, seperti di Singapura, bagi membolehkan pelanggan menghisap rokok. 

Tinggalkan komen anda