Titik mula beli lori


shadow

HENDAK seribu daya, tak hendak seribu dalih. Perumpamaan paling tepat melambangkan semangat pasangan suami isteri ini dalam usaha melakar kejayaan diimpikan.

Tidak mahu hidup di tahap sama, kedua-duanya bingkas bangun mengubah nasib hidup bukan saja buat diri sendiri, malah untuk generasi muda yang lain.

Pasangan Sayidatina Norain Abdul Halim dan Mohd Syawwil Idham Ihwaan membuktikan tiada apa yang mustahil asalkan mempunyai semangat dan tekad tidak mudah berputus asa.

Mana tidaknya, dengan mengumpul wang sendiri hasil jualan burger, pasangan ini berjaya membeli sebuah lori pada mulanya untuk perancangan masa depan yang hebat.

Kehadiran lori itu rupa-rupanya membuka banyak laluan untuk mereka. Pasangan ini mula rancak merancang strategi membuat perusahaan lori sewa dan pindah rumah, Am Pro Movers yang menjadi titik permulaan kisah mereka.

Sayidatina Norain yang pada mulanya mempunyai pekerjaan tetap tekad berhenti bagi membantu suami mencari satu kelainan bagi memastikan apa yang diusahakan mampu membantu ramai generasi muda yang masih mencari pekerjaan dan arah hidup, sekali gus memudahkan pelanggan yang ingin berpindah rumah.

“Apa yang kami lakukan ini lebih kepada usaha bukan saja untuk membantu pelanggan berpindah dengan mudah dan selamat namun dalam masa sama membuka peluang kepada generasi muda yang ingin bekerja.

“Kami mahu bantu mereka supaya dapat pekerjaan dan paling utama tidak memilih. Syukur dengan niat untuk membantu ini, perkhidmatan pindah rumah secara sistematik ini semakin menampakkan sinarnya,” katanya.

Tambah Sayidatina Norain, dia dan suaminya tidak pernah menyesal dengan pilihan menjalankan perkhidmatan itu.

“Apa yang kami tawarkan ini mempunyai sistem dan berinsurans. Apa yang penting kami sentiasa menasihatkan pekerja supaya menjalankan setiap tugas sebaik mungkin dan mesra dengan pelanggan.

“Walaupun skop pekerjaan yang dilakukan adalah sebagai pemandu lori, mengangkat barang rumah untuk dipindahkan, membersihkan rumah juga membalut barangan namun ia tidak sedikit pun melemahkan semangat kami. Setidak-tidaknya kami boleh memberi peluang pekerjaan kepada orang lain,” katanya.

Malah menurut Sayidatina Norain, dia, suami dan semua pekerja semakin bersemangat meneruskan perkhidmatan itu hari demi hari.

“Apa yang kami lakukan ini bukan kerja mudah namun berkat bantu membantu semuanya dapat berjalan dengan baik.

“Saya sering menasihati semua pekerja supaya jangan mengeluh, lakukan kerja dengan ikhlas dan paling utama jaga mutu kerja supaya pelanggan berpuas hati dengan khidmat kami,” katanya.

Layan pekerja sebaik mungkin

Tambahnya, memiliki lebih 20 pekerja yang hampir semuanya terdiri daripada generasi muda menjadikan pasangan ini perlu bijak menangani emosi.

“Apa yang mereka rasa kami akan rasa, paling utama kami perlu pastikan pekerja tidak mudah bosan dan terus komited dengan kerja.

“Tidak mudah sebenarnya kerana jiwa muda sangat mudah memberontak, disebabkan itu kami akan cuba sedaya upaya menangani apa juga masalah dengan baik terutama apabila ada antara mereka yang mahu berhenti.

“Jika difikirkan ia mungkin tidak mendatangkan apa-apa kerugian kepada kami namun memikirkan nasib mereka selepas berhenti, kami cuba untuk menghalang dan cetuskan keseronokan ketika bekerja,” katanya.

Menurutnya, dia juga sangat mementingkan soal disiplin kepada setiap pekerjanya.

“Menawarkan perkhidmatan untuk membantu orang yang ingin berpindah rumah memerlukan ketelitian. Semua aspek perlu dijaga terutama cara mengendalikan barangan. Kepuasan pelanggan banyak bergantung kepada mutu kerja semua pekerja.

“Bohong jika saya katakan saya dan suami tidak pernah tertekan, tentu saja ia berlaku, tetapi saya segera bangkit dan ingat kembali tujuan utama kami melakukan ini semua,” katanya.

Tambahnya, kini selepas lebih tiga tahun dalam perkhidmatan itu, dia dan suami mengharapkan apa yang diusahakan semakin berkembang maju.

“Persaingan ada namun kami tetap berusaha memberikan yang terbaik, kepuasan pelanggan adalah kunci kejayaan dan kami akan cuba memenuhi kriteria diinginkan mereka.

“Saya yakin rezeki itu tetap ada, walaupun keuntungan kadangkala tidak menentu namun sedar tidak sedar sudah lebih tiga tahun kami bertahan dan berkembang. Yakin kepada Allah dan kami akan terus berusaha untuk menggapai apa yang diimpikan,” katanya.

  • myMetro

Tinggalkan komen anda