TRANSKRIP: Rosmah luah rasa kecewa terhadap ketua SPRM kepada Najib


shadow

BERIKUT adalah transkrip perbualan antara bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor yang menunjukkan beliau tidak gembira apabila digambarkan sebagai “penjahat” berhubung masalah dalam 1Malaysia Development Berhad.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang mendedahkan rakaman audio ini dan beberapa rakaman perbualan Najib dan pegawai kanan kerajaan pada 2016, berkata, Najib dan Rosmah mungkin akan berdepan lebih banyak pendakwaan berkaitan salah guna kuasa berdasarkan rakaman itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata rakaman perbualan Najib dan Rosmah sepanjang enam minit itu dirakam pada 12.46 petang, 27 Julai, 2016.

Dalam rakaman berkenaan turut disebut nama individu berprofil tinggi dari Emiriah Arab Bersatu.

Mereka adlah Tengku Mahkota UAE Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan, ketua eksekutif Mubadala Development Company Khaldoon Mubarak, timbalan perdana menteri UAE dan naib pengerusi Mubadala Sheikh Mansour bin Zayed al Nahyan.

Anak syarikat Mubadala, International Petroleum Investment Co (IPIC), telah menjamin bon yang dikeluarkan oleh 1MDB, dan Najib mahu mengelakkan pembayaran tanpa bon 1MDB daripada menjadi isu.

Penyelesaian antara 1MDB dan IPIC dibincangkan di bawah pentadbiran Najib sebelum Barisan Nasional kalah pilihan raya umum pada 2018, dan kini dicabar oleh kerajaan di bawah Pakatan Harapan.

Rakaman itu menyentuh mengenai kebencian Najib untuk menyelesaikan pertikaian dengan Mubadala dan IPIC di mahkamah.

Ia turut mendedahkan kemarahan Rosmah mengenai tindakan ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu Abu Kassim Mohamed untuk menyiasat dan membuat kenyataan mengenai 1MDB dan penggantiannya dengan Dzulkifli Ahmad.

Rosmah turut mengarahkan suaminya untuk mengadakan pertemuan dengan Khaldoon bagi menyelesaikan masalah bon dan melindungi anaknya, Riza Aziz daripada tuduhan salah laku.

Turut disebut adalah Amhari Effendi Nazarudin, yang merupakan pegawai khas Najib ketika itu dan salah seorang daripada saksi pendakwaan dalam perbicaraan SRC International Najib.

Berikut adalah petikan transkrip rakaman perbualan yang telah dimurnikan daripada perbualan asal dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, serta untuk kejelasan.

Rosmah: Hi.

Najib: Hi.

Rosmah: Apa cerita? Saya nak nasihatkan awak, boleh? Boleh tak saya nasihatkan sesuatu?

Najib: Ya, ya… ada apa?

Rosmah: Awak masih tak dengar cakap saya. Mereka suruh awak berlembut (slow down) dengan Abu Kassim (bekas ketua SPRM Abu Kassim Mohamed) tapi Abu Kassim dah buat kenyataan (tidak jelas), siap ambil gambar dengan Pak Lah (bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi).

Mereka buat dia jadi macam hero, dan awak macam orang jahat. Semua lima orang ini kena tengok awak sebagai keutamaan mereka, bukan orang lain.

Najib: Siapa?

Rosmah: Yang di pejabat awaklah. Shahlan dah yakin, Tengku dah yakin, Amhari dah yakin. Macam kini ini semua orang jahat.

(Tiga nama yang disebut adalah bekas pegawai Najib iaitu Shahlan Ismail (setiausaha politik), Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad (setiausaha akhbar) dan Amhari Efendi Nazaruddin (pegawai khas)

Najib: Tak, tak, tak… saya dah benarkan Azwan untuk buat kenyataan… dan impaknya dah bagus dah.

Rosmah: Okay, tetapi hari ini Abu Kassim dalam Berita Harian, ambil gambar dengan Pak Lah lagi. Dia berani berterima kasih pada Pak Lah dan orang lain, kecuali awak. Ini tak adil.

Najib: Hmmm, hmmmm… faham, faham.

Saya dah tanda tangan surat pelantikan Dzul. (Dzul merujuk kepada Dzulkifli Ahmad, yang menggantikan Abu Kassim sebagai ketua pesuruhjaya SPRM tiga hari kemudian pada 1 Ogos 2016.)

Dalam rakaman pertama yang didedahkan SPRM hari ini, Dzulkifli yang ketika itu berkhidmat di Pejabat Peguam Negara menghubungi Najib untuk memaklumkan bekas perdana menteri mengenai hasil siasatan terhadapnya.)

Tinggalkan komen anda