Tutup premis selepas 12 tengah malam rugikan kami, kata peniaga Kelantan


shadow

TAWARAN lesen perniagaan percuma selama setahun oleh kerajaan negeri Kelantan dilihat masih tidak mampu mengurangkan bebanan kepada peniaga sekiranya pelaksanaan penguatkuasaan penutupan premis perniagaan selepas 12 malam dilaksanakan di negeri ini.

Peniaga kedai makan Hannan Yusof, 27, berkata tawaran itu baik namun ia masih tidak mampu mengurangkan bebanan kepada peniaga yang sudah pasti menanggung kos yang lebih tinggi daripada tawaran itu untuk pengurusan operasi perniagaan masing-masing.

“Lesen perniagaan untuk setahun hanya RM70 sehingga RM100 namun jika cadangan untuk penguatkuasaan penutupan premis perniagaan dilaksanakan selepas 12 malam, kami kerugian sehingga ribuan ringgit setahun yang sepatutnya menjadi sumber kepada kami untuk dijadikan sebagai modal pusingan.

“Saya yang mengusahakan kedai masakan panas akan memulakan operasi 5.00 petang dan akan tamat operasi pada pukul 3.00 pagi kerana masakan panas ini mendapat sambutan pada waktu malam berbanding waktu pagi, tengah hari dan petang,” katanya ketika ditemui Bernama, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan kerajaan negeri akan memberi lesen percuma kepada mana-mana peniaga yang patuh kepada arahan operasi perniagaan sehingga 12 malam.

Hannan berkata kadang kala dalam tempoh waktu perniagaannya itu dia memperoleh hasil jualan RM100 sehingga RM200 dan bergantung kepada musim seperti cuti perayaan dan hujung minggu.

“Dengan hasil jualan itu ia hanya atas ‘pagar’ kepada saya untuk menjadikan modal pusingan untuk sewa kedai RM700, gaji pekerja RM900, kos bil air dan elektrik RM400 dan modal harian RM300 dan selebihnya keuntungan saya.

“Kebiasaan masyarakat menikmati masakan panas selepas 10.00 malam, bayangkan sekiranya kami terpaksa tutup 12 malam dalam tempoh tiga jam berapa sangat hasil jualan yang kami akan dapat memandangkan waktu petang untuk mendapatkan RM50 pun sukar,” katanya.

Sementara itu, Mohd Aif Eznil Zaki, 28, berkata beliau meminta agar cadangan itu dipertimbangkan kerana ia menjadi bebanan kepada peniaga terutama yang mencari rezeki pada waktu malam.

“Kami yang berniaga masakan panas ini kebiasaan tidak akan memulakan perniagaan waktu pagi dengan menjual nasi berlauk atau kuih muih untuk memberi ruang kepada peniaga lain dalam waktu itu mencari rezeki, sekaligus mengurangkan persaingan.

“Perniagaan saya bergantung harap kepada penumpang bas ekspres dan pemandu lori pada waktu malam dan awal pagi selain masyarakat lain, jika tutup 12 malam selepas ini bermungkinan saya terpaksa gulung tikar,” katanya.

Tinggalkan komen anda