‘Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal’ tidak ke senarai akhir Oscar, Les’ Copaque tetap bangga!


shadow

KUALA LUMPUR : Walaupun filem animasi tempatan, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal tidak berjaya disenaraikan dalam senarai lima calon akhir bagi Anugerah Akademi, pihak terbitan Les’ Copaque Production tetap berbangga karya mereka berentap dalam pencalonan awal.

Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Burhanuddin Md Radzi mengakui, keputusan itu (tidak berjaya ke senarai akhir) sudah dijangkakan pihaknya kerana persaingan yang amat sengit.

“Sebenarnya pihak kami sudah menjangkakan keputusan ini, tetapi kami tetap bangga disenaraikan dalam pencalonan awal.

“Bukan mudah untuk bersaing dengan 31 pilihan lain, kita semua tahu anugerah ini kalau boleh semua orang nak bertanding.”Apa yang lebih menyukarkan, pemilihan adalah mengikut sistem pengundian yang melibatkan pengundian daripada 300 juri,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

Pada masa sama, Burhanuddin turut menjelaskan, untuk dipilih sebagai calon bagi Anugerah Akademi atau lebih dikenali sebagai Oscar’s, ia memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

“Oscar adalah anugerah paling besar dalam industri. Apabila sesebuah filem tercalon, nilainya akan terus meningkat.

“Oleh sebab itu, filem besar seperti terbitan Disney dan sebagainya membelanjakan peruntukan yang amat tinggi untuk memenangi anugerah ini,” jelasnya.

Ujarnya lagi, pada masa akan datang, pihaknya akan terus berusaha untuk menghasilkan filem animasi yang lebih baik serta lain daripada yang lain.

Bagi kategori filem animasi terbaik, lima calon yang berjaya disenaraikan adalah How To Train Your Dragon: The Hidden WorldI Lost My BodyKlausMissing Link dan Toy Story 4.

Anugerah tahun ini akan berlangsung pada 9 Februari di Los Angeles.

  • astro Awani


Tinggalkan komen anda