Virus Wuhan: Apa yang kita tahu setakat ini?


shadow

MALAYSIA mengesahkan empat pelancong dari China dijangkiti koronavirus yang berasal dari bandar di negara itu, Wuhan, yang kini kini sudah merebak ke sekurang-kurangnya 14 negara.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), koronavirus (CoV) adalah keluarga besar virus yang menyebabkan penyakit daripada selesema biasa kepada penyakit yang lebih berbahaya seperti indrom pernafasan Timur Tengah (Mers-CoV) dan sindrom pernafasan akut teruk (SARS).

Virus baharu ini boleh disebarkan daripada haiwan kepada manusia.

Berikut adalah penerangan mengenai wabak yang menyebabkan pihak berkuasa China mengenakan perintah kuarantin di Wuhan dan 14 lagi bandar di wilayah Hubei.

Bagaimana koronavirus bermula?

Pasar makanan laut di Wuhan yang menjual haiwan liar dan eksotik seperti ular, marmot dan musang, dikatakan punca wabak tersebut.

Pihak berkuasa China menutup pasar berkenaan sejak 1 Januari untuk menjalankan pembersihan.

Penyelidik di China baru-baru ini berkata wabak koronavirus mungkin berasal daripada kelawar atau ular, tetapi setakat ini ia belum disahkan oleh pihak berkuasa.

Rabu lalu, kerajaan China mengharamkan aktiviti jual beli haiwan liar di Wuhan.

Wuhan kini ibarat bandar berhantu.

Perkhidmatan bas, kereta api dan feri digantung, termasuk semua penerbangan dibatalkan di Wuhan.

Arahan sama dikenakan ke bandar-bandar lain hingga menjejaskan kira-kira 56 juta orang di China.

China juga giat membina sebuah hospital dengan kapasiti 1,000 katil dalam tempoh beberapa hari.

Sementara itu, seorang doktor meninggal dunia sembilan hari selepas merawat pesakit koronavirus di sebuah hospital di Hubei. 

Berapa ramai dijangkiti?

Lebih 1,300 kes di China dengan 41 kematian dilaporkan setakat ini. Malaysia mengesahkan empat kes, dan antara 14 negara yang dijangkiti virus dari Wuhan itu.

Negara lain yang dijangkiti adalah AS, Perancis, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Singapura, Thailand, Australia, Nepal, Vietnam, Hong Kong dan Macau.

Hong Kong mengisytiharkan penularan wabak koronavirus sebagai darurat iaitu tahap amaran tertinggi bandar raya itu, dan pihak berkuasa meningkatkan usaha mengurangkan risiko penularan wabak berkenaan.

Situasi di Malaysia setakat ini

Kementerian Kesihatan Malaysia malam tadi mengesahkan kes keempat virus dari Wuhan. Tiga daripada empat individu tersebut mempunyai hubungan dengan lelaki berusia 66 tahun disahkan positif koronavirus di Singapura.

Ketiga-tiga warga China itu adalah isteri lelaki berkenaan, serta dua cucu mereka yang berusia 11 dan 12 tahun.

Mereka kini dikuarantin dan menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh. Keadaan mereka dilaporkan stabil.

Kementerian berkata kes terbaharu tiada kaitan dengan tiga pesakit awal yang dikenal pasti, dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

Apakah tindakan pihak berkuasa untuk mengekang penularan di Malaysia?

Syarikat penerbangan AirAsia dan Malindo Air telah menggantung semua penerbangan ke Wuhan.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pula semalam berkata mereka meningkatkan usaha dengan menempatkan pengimbas haba di pintu ketibaan sebelum wabak itu menular.

“Antara langkh yang diambil oleh Kementerian Kesihatan dengan disokong oleh MAHB ialah menjalankan pemeriksaan haba ke atas penumpang dan anak kapal dari China.

“Selain itu, kami menetapkan pintu masuk lain bagi ketibaan penerbangan masuh dari China di kawasan lebih dekat dengan tempat khas perubatan bagi mempercapatkan prosedur kuarantin dan meminimumkan risiko pendedahan kepada orang ramai,” kata MAHB.

MAHB juga berkata rakan kongsinya membuat pengumuman perlu kepada penumpang serta mengedarkan Kad Amaran Kesihatan (HAC) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan untuk penumpang maklumkan keadaan kesihatan mereka. 

“Mereka yang demam atau batuk atau menghadapi kesukaran bernafas akan dibawa ke hospital terdekat sebaik tiba.

“HAC juga diedarkan di kaunter Imegresen.”

Selain itu, MAHB juga menyediakan topeng dan sanitizer tangan untuk kakitangann di lokasu strategik di seluruh terminal.  

Langkah pencegahan

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menggesa mereka yang membuat perjalanan ke China supaya memakai topeng muka dan menggunakan sanitizer tangan selain menjauhi kawasan yang sesak dan elak bersentuhan orang yang mempunyai simptom koronavirus.

Pelancong juga dinasihatkan tidak melawat ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, rumah sembelihan dan elakkan diri dari menyentuh binatang.

Mereka juga diingatkan supaya tidak makan daging mentah atau separuh masak.

“Dapatkan rawatan segera sekiranya anda sakit (jika ada gejala penyakit pernafasan seperti demam, batuk dan kesukaran bernafas) dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari perjalanan,” kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan semalam.

Mereka yang melakukan perjalanan ke luar negara dan mengalami gejala juga dinasihatkan untuk mendedahkan maklumat tersebut kepada doktor.

Tinggalkan komen anda