Wanita cedera parah disamun meninggal dunia


shadow

SEORANG pekerja sebuah butik yang mengalami kecederaan parah selepas disamun dalam kejadian di Persiaran Jenahak 2, Seberang Jaya di Bukit Mertajam pada November tahun lepas meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di Bukit Mertajam semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata Nurfarahdila Zulkifli Amin, 32, yang mengalami kecederaan patah tulang leher, pecah bibir dan bengkak di tangan berada dalam keadaan koma selepas kejadian samun itu sebelum meninggal dunia kira-kira pukul 8 malam.

“Dalam kejadian pukul 9.30 pagi 23 November tahun lepas, wanita itu sedang menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bandar Perda sebelum tiba di Persiaran Jenahak 2 dan disamun seorang lelaki menaiki sebuah motosikal.

“Suspek dipercayai telah menendang motosikal mangsa sehingga menyebabkan wanita itu terjatuh ke tepi jalan sebelum lelaki itu melarikan beg tangan mengandungi telefon bimbit, kad pengenalan, kad bank serta sejumlah wang tunai,” katanya hari ini.

Beliau berkata orang ramai yang berada di lokasi kejadian cuba mengejar suspek, namun tidak berjaya dan mereka memberi bantuan kepada mangsa sebelum wanita berkenaan dihantar ke HSJ untuk rawatan.

Nik Ros Azhan berkata berdasarkan keterangan saksi, mangsa sempat memberitahu alamat tempat kerjanya dan meminta mereka menghubungi keluarga bagi memaklumkan dia disamun serta mengalami kecederaan.

“Mangsa dirawat di HSJ sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk menjalani pembedahan tulang leher pada 27 November dan menerima rawatan di situ sehingga 10 Januari lepas sebelum dipindahkan semula ke HSJ. Sepanjang tempoh berkenaan wanita itu dalam keadaan koma,” katanya.

Menurutnya, lelaki yang menyamun mangsa berjaya ditahan empat hari selepas kejadian itu dan suspek yang berumur 30 tahun itu telah didakwa di Mahkamah Sesyen Bukit Mertajam pada 20 Disember lepas menurut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata lelaki yang mempunyai enam rekod lampau itu ketika ini berada di penjara kerana tiada duit untuk membayar ikat jamin ketika didakwa di mahkamah dan polis telah mengklasifikasikan semula kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

“Polis klasifikasikan semula kes itu selepas mangsa meninggal dunia semalam dan kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya. 

Tinggalkan komen anda