Adun DAP nafi rosakkan gerai ‘kultus’ di tapak sambutan Thaipusam


shadow

Satu klip video menunjukkan beberapa pemimpin DAP di Pulau Pinang bertekak di Panthal (gerai) yang didirikan oleh ahli kumpulan Nithiananda Swami ketika sambutan Thaipusam tersebar menerusi Whatsapp.

Adun Bagan Dalam, Satees Muniandy yang dilihat dalam video tersebut didakwa merosakkan gerai berkenaan tetapi menafikan berbuat demikian.

Mesej Whatsapp yang disertakan dengan video itu juga mendakwa Satees dan ahli majlis Perbandaran Seberang Perai, David Marshel dan Jason Raj mengancam kumpulan itu dengan kekerasan fizikal, dan meruntuhkan kain rentang mereka.

Ketika dihubungi, Satees menafikan beliau melakukan perbuatan vandalisme dan mengatakan tiada sentuhan fizikal ketika kejadian berlaku, tetapi “hanya berbalas jeritan biasa.”

“Dakwaan itu adalah pembohongan sama sekali.

“Ya, kita berdepan ahli kultus yang mempamerkan foto penjenayah dikehendaki, Nithyanandha sebagai penjelmaan semula (Dewa) Lord Shiva,” katanya.

Jelasnya, beliau berjalan keluar dari kawasan kuil apabila didatangi beberapa orang yang mengadu mengenai gerai berkenaan.

Satees menulis artikel untuk menggesa pihak polis bertindak terhadap kumpulan itu, yang digelarkannya sebagai “kultus”.

Beliau juga membuat laporan polis mengenai perkara itu di balai polis di Bukit Mertajam.

Satees mendakwa ramai golongan muda terjebak menyertai kultus berkenaan.

Beliau juga berkata terdapat aduan mengenai penculikan, penangkapan secara paksa di bawah umur, dan penderaan seksual ketika polis di India memburu Nithyanandha.

“Kami menghampiri gerai itu, dan beritahu mereka untuk tidak terus melakukan ini, kerana ia jelas menyebabkan kegusaran kepada orang Hindu,” katanya.

Satees berkata sukarelawan di gerai itu mendakwa Nithyanandha adalah penjelmaan semula Lord Shiva dan menegaskan mereka akan terus menggambarkan dia seperti itu.

“Sebagai seorang Hindu, saya tidak boleh hadam hakikat bahawa kumpulan ini menghina agama saya, dengan menyamakan Tuhan dengan penipuan, yang mana dia dikehendaki bagi kesalahan jenayah yang serius di India,” kata Satees. 

Tinggalkan komen anda