Agong panggil semua ketua parti politik


shadow

Perkembangan terkini keadaan politik semasa berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berusia 20 bulan.

LANGSUNG

8.30 pagi: Bekas timbalan menteri Belia dan Sukan, Steven Sim menghantar puisinya kepada Malaysiakini untuk mengingatkan tentang perpaduan dan kepelbagaian kaum di negara ini. Demikian puisi itu berbunyi:

Watan ini ada warisan,

Dari azali tersohor namanya,

Angin yang merentas lautan,

Membawa siasah dan budaya.

Dari kerajaan purba Tanah Merah,

Sang pelayar Buddhagupta

Menjelajah dunia Nusantara,

Dibawa angin yang sama.

Dari Gunung Valavati sana,

Dinaung Raja Dewa Cudamani,

Dharmakirti mengarang kitabnya,

Mencerah minda menyuluh rohani.

Dari Rom, angin membahtera,

Merong Mahawangsa dilanggar Garuda,

Lalu mendiri tahkta Langkasuka,

Kerajaan adil kebaikan bertambah-tambah.

Angin yang sama membawa,

Dari benua jauh Sang Pencerah,

Agama Dewata Mulia Raya,

Memahat syariah mentadbir ummah.

Dari Seguntang Mahameru,

Termaktub bai’ah pusaka,

Menjunjung daulat ke anak cucu,

Zuriat Yamtuan Tiga Dunia.

Watan ini hebat

Bukan sebab kudrat semata,

Hebat kita kerana muafakat

Kerana angin takdir mengikat kita.

Bagai ditempa kursani dan baja

Dibakar bahang api bara

Disepuh air tiga kuala

Menjadi keris Laksamana.

Ku sambut tangan-mu sahabatku,

Oleh takdir dikimpal kita,

Oleh angin ketemu kita,

Sejak bahari kita bersama,

Dalam Bahasa, Budaya, Cara dan Warna

Sebenarnya, kita berjumpa.

Menurut Steven, puisi itu ditulis untuk mengingatkan rakyat Rakyat Malaysia asal usul, sejarah yang panjang dan silaturahim yang bagaikan “besi pelbagai ditempa menjadi keris sakti”.

“Kita kuat bukan sebab kebolehan sesorang atau sesuatu kaum tapi kerana perpaduan pemimpin dan rakyat pelbagai kaum negara ini,” katanya.


8 pagi: Istana Negara – Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka memanggil semua ketua parti politik ke Istana Negara pada jam 10.30 pagi.

Agong pada Selasa dan Rabu lalu mewawancarai semua anggota parlimen bagi mengetahui calon perdana menteri pilihan mereka, namun mendapati tiada mana-mana pihak memiliki majoriti yang jelas.

Anggota Parlimen BN dan PAS memaklumkan kepada Yang Di-Pertuan Agong bahawa mereka mahukan Dewan Rakyat dibubarkan manakala pemimpin Pakatan Harapan memutuskan untuk mencalonkan Anggota Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri selepas bekas pemimpin mereka, Dr Mahathir Mohamad enggan memulihkan kerajaan PH.

GPS, Warisan dan Bersatu dipercayai menamakan Mahathir, yang merupakan pengerusi Bersatu, sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, pendirian parti-parti politik ini berubah lagi dalam masa beberapa hari.

Sehingga malam tadi, BN, PAS dan Bersatu kini menyokong Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri. Pendirian PH tetap tidak berubah buat masa sekarang dan siapa yang akan disokong GPS dan Warisan masih samar.

Peralihan sokongan kepada Muhyiddin adalah kerana Mahathir berkeras untuk tidak akan bekerjasama dengan Umno.

Ini bermakna Muhyiddin mendapat sokongan daripada 96 anggota Parlimen sementara Presiden PKR Anwar Ibrahim memperoleh 93 sokongan.

Tidak jelas sama ada Agong boleh menentukan siapa yang paling mendapat sokongan dengan menemui ketua-ketua parti hari ini kerana tidak semua anggota parlimen menyokong keputusan parti masing-masing.

Sebagai contoh, sokongan anggota parlimen Bersatu kelihatan terpecah dua antara Muhyiddin dan Mahathir.

Anwar menyatakan bahawa beliau berharap anggota parlimen menyebelahi PH, dengan mendakwa gabungan itu mempunyai bilangan mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Ini merupakan usaha berterusan untuk membuktikan sokongan majoriti bagi menentukan perdana menteri selepas beberapa siri temuduga dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong terhadap anggota parlimen.

Tinggalkan komen anda