Bekas menteri akui cam suara Najib, Rosmah dalam klip audio SPRM


shadow

BEKAS menteri pendidikan Mahdzir Khalid memberitahu mahkamah bahawa beliau mengecam suara bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor dalam rakaman audio yang disiarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada bulan lalu.
 
Rakaman suara itu dimainkan semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas permintaan ketua pendakwa raya Gopal Sri Ram yang mahu Mahdzir mengenal pasti suara lelaki dan wanita dalam klip audio itu.

Pihak pembelaan pada awalnya membantah permohonan yang dikemukakan Gopal Sri Ram.

Peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader berkata tindakan memainkan audio tanpa notis awal tidak pernah berlaku sebelum ini dan mahkamah tidak harus membenarkannya.

Namun Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata mahkamah mempunyai hak untuk memainkan rakaman itu mengikut peruntukan 136 (2) tetapi Akberdin membantah dengan menyatakan peruntukan itu adalah untuk umum.

Pihak pembelaan meneruskan bantahan hampir 10 minit bagi menghalang klip audio itu dimainkan.

Kemudian Gopal Sri Ram berkata tujuan rakaman suara itu dimainkan hanya bertujuan untuk mengenal pasti suara dalam klip itu sahaja.

“Tujuannya hanya untuk mengenal pasti suara sahaja,” kata Gopal Sri Ram kepada mahkamah.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Zaini membenarkan audio itu dimainkan.

Rakaman itu bermula dengan suara lelaki berkata, “Yes anything? (Ya ada apa?)” , sebelum disusuli suara wanita yang berkata, ‘Can I advise you something?’ (Boleh saya nasihatkan awak?).

Mahdzir kemudiannya mengenal pasti suara lelaki itu milik Najib dan suara wanita itu sebagai Rosmah.

Rakaman audio itu antara sembilan klip suara yang disiarkan SRPM pada bulan lalu.

Ketua SPRM Latheefa Koya berkata rakaman suara itu melibatkan Najib, Rosmah, bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas ketua SPRM dan dua individu dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Rosmah, 69, isteri bekas perdana menteri, berdepan tiga tuduhan rasuah, salah satunya kerana meminta RM187.5 juta daripada Saidi sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau juga dituduh menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi pada 2016 dan 2017. 

Tinggalkan komen anda