Belum Ada Keputusan Laksana PPSMI: Tun Mahathir


shadow

Putrajaya: Kerajaan masih belum membuat keputusan untuk memperkenalkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan masih mempertimbangkan perkara itu dan keputusan hanya akan dibuat berdasarkan undian majoriti Kabinet.

Tun Mahathir, yang juga pemangku Menteri Pendidikan turut menyatakan bahawa penekanan lebih kepada pengajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris adalah sebahagian daripada perbincangan dengan pegawai kementerian.

“Saya dapati heboh dikalangan rakyat kononnya kerajaan telah mementukan untuk melaksanakan  pengajaran sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris.

“Sebenarnya kerajaan masih belum membuat keputusan dan kami masih belum bersetuju untuk mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

“Saya sedang mengadakan perbincangan dengan kakitangan Kementerian Pendidikan mengenai idea itu tetapi entah bagaimana, perbualan itu terdedah,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan perutusan di Majlis Amanat Dan Aspirasi bersama warga kementerian pendidikan disini, hari ini.

Katanya lagi, banyak tentangan terhadap cadangan untuk melaksanakan PPSMI dan atas dasar itu kerajaan mengambil keputusan menangguhkannya.

Jelas Tun Mahathir lagi, kegunaan bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek berkenaan sangat penting dimana ia sekaligus mampu mengembangkan minda anak-anak untuk mempelajari dengan lebih mendalam.

Tinggalkan komen anda