Bersatu ambil masa, tolak peletakan jawatan Dr Mahathir


shadow

TIDAK seperti ketika majlis tertinggi Bersatu pada Ahad di mana Dr Mahathir Mohamad digesa untuk menubuhkan kerajaan baharu bersama Umno dan PAS, mesyuarat malam tadi agak suram, kata sumber kepada The Malaysian Insight.

“Parti tidak menjangka Dr Mahathir akan letak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu,” kata salah seorang sumber.

Ketika mesyuarat majlis tertinggi pada Ahad, Dr Mahathir berulang-kali memberitahu 30 ahli majlis yang mereka tidak mendengar apa yang beliau kata, kata sumber.

“Dr Mahathir tidak mahu menubuhkan kerajaan baharu bersama sesetengah pemimpin Umno yang terpalit dengan perbicaraan kes rasuah. Tetapi mereka tidak mengendahkan.

“Dan oleh itu, Dr Mahathir pulang ke rumah pada Ahad itu dan buat keputusan tidak mahu menghadiri majlis makan malam di Hotel Sheraton.”

Sumber itu berkata walaupun ada bantahan daripada pemimpin seperti as Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Abdul Rahman, Rina Harun dan Dr Radzi Jidin, jumlah mereka tidak cukup banyak.

Dan tanpa pemimpin berkarisma mereka, sumber itu berkata Bersatu kini tersekat antara dua kemungkinan yang sukar.

“Parti itu keluar Pakatan Harapan dan perlukan rakan kerjasama baharu untuk menubuhkan kerajaan. Yang tinggal hanya Umno dan PAS tetapi ia tersekat kerana Dr Mahathir menolak cadangan mereka.

“Tambahan lagi, syarat Umno ialah Bersatu menyerap parti itu dan ia perlu dilakukan dengan segera.

“Kami tidak boleh buat begitu tanpa kehilangan Dr Mahathir,” kata sumber itu.

Sehubungan itu, majlis itu memutuskan ia menolak peletakan jawatan Dr Mahathir dan menyokongnya sebagai perdana menteri sekali lagi, katanya.

“Kami harap untuk ambil masa dan cuba meyakinkan beliau. Ini juga akan membolehkan Umno dan PAS menandatangani deklarasi berkanun untuk menyokong Dr Mahathir bila mereka menghadap Agong hari ini.”

Ahli Bersatu mulai berkumpul di kediaman Dr Mahathir di Seri Kembangan pagi ini.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Mukhriz dan Rina dilihat masuk ke rumah Dr Mahathir.

Umno dan PAS dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 11 pagi ini.

Ditanya bagaimana keadaan itu akan berubah kerana Dr Mahathir tidak mahu bekerjasama dengan sesetengah pemimpin Umno, sumber itu berkata:”DAP dan Amanah sudah memilih untuk menyokong Dr Mahathir.

“Begitu juga kita. Jika semua orang menyokong Dr Mahathir, beliau boleh pilih siapa beliau mahu untuk membentuk kerajaan baharu. Umno dan PAS akan menandatangani deklarasi berkanun itu atas kapasiti peribadi mereka,” kata sumber.

Mesyuarat malam tadi adalah mesyuarat majlis tertinggi Bersatu yang kedua diadakan dalam tempoh dua hari. Pada Ahad, majlis itu bermesyuarat pada sebelah pagi tetapi pemimpinnya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sebelah petangnya, Muhyiddin mengetuai wakil rakyat Bersatu menghadiri majlis makan malam dianjurkan oleh pemimpin PKR Mohamed Azmin Ali di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.

Majlis itu kemudian turut disertai ahli Parlimen lain diketuai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Dr Mahathir tidak hadir majlis makan malam itu.

Tinggalkan komen anda