Butiran projek Pan Borneo diumum 20 Februari ini


shadow

KEMENTERIAN Kerja Raya akan memaklumkan butiran terperinci termasuk kos sebenar projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak pada 20 Februari ini, kata menterinya Baru Bian.

“Kalau kos sebenar itu kita akan maklumkan selepas kementerian mengambil kuasa projek itu pada 20 Februari. 

“Tunggu pengumuman saya… banyak perkara yang belum diperincikan lagi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan “Cultural Night Run @ Penang 2nd Bridge” di Kajang, hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini berkata sebanyak RM3.1 bilion dapat dijimatkan berikutan penamatan perjanjian rakan pelaksana projek (PDP) projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak.

Lim berkata anggaran implikasi kewangan kepada kerajaan dengan penglibatan syarikat PDP sebelum ini ialah RM21.9 bilion manakala anggaran implikasi kewangan setelah tamatnya perjanjian PDP ialah sebanyak RM18.8 bilion.

Baru berkata beliau juga akan memaklumkan mengenai kemajuan kerja fizikal projek tersebut.

Katanya beliau diberitahu projek itu sudah mencapai kemajuan kerja sebanyak 43%.

“Bagaimanapun, saya perlu turun ke bawah untuk mendapatkan informasi termasuk dari perunding bebas dan saya akan umumkan (kemajuan projek) juga pada 20 Februari ini,” katanya.

Sementara itu, Baru berkata penganjuran kali kedua acara “Cultural Night Run @ Penang 2nd Bridge” di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pulau Pinang akan diadakan pada 4 Julai depan.

Katanya acara yang melibatkan peserta larian memakai kostum budaya masing-masing itu dapat mempamerkan budaya kaum di negara ini selain menggiatkan industri pelancongan.

Tinggalkan komen anda