Coronavirus: Udara dalam pesawat melalui tapisan HEPA


shadow

KUALA LUMPUR: Sistem pengudaraan yang baik dalam pesawat menyebabkan risiko jangkitan novel coronavirus (2019-nCoV) antara penumpang menaiki penerbangan sama adalah sangat rendah.

Malaysia Airlines Berhad (MAB) menjelaskan, berdasarkan maklumat syarikat pengeluar pesawat, udara di dalam kabin dikitar semula selepas melalui tapisan udara partikel keberkesanan tinggi (HEPA).

“Ini bermaksud kebarangkalian untuk anda terdedah kepada bakteria dan virus menerusi kitaran udara (dalam pesawat) adalah sangat rendah.

“Malah, disebabkan sistem pengudaraan yang baik dan sangat berkesan, udara di dalam kabin pesawat adalah lebih bersih berbanding bangunan pejabat serta setaraf kualiti di kebanyakan hospital.

“Bagaimanapun, marilah kita menerapkan amalan menjaga kebersihan diri dan kerap membasuh tangan, selain mematuhi etika ketika bersin atau batuk dalam khalayak umum,” katanya dalam satu kenyataan.

Coronavirus yang dikesan tercetus dari pasar makanan laut di Wuhan, wilayah Hubei, China, sejak Disember lalu sudah mengorbankan lebih 360 nyawa dan menjangkiti lebih 17,300 orang.

Setakat ini, virus baharu yang mengundang risiko tinggi dalam kalangan orang tua, kanak-kanak dan bermasalah kesihatan itu telah merebak meliputi lebih 25 negara seluruh dunia, termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia dan Singapura.

Tinggalkan komen anda