Firma perundangan ternama Malaysia dilanda kemelut rakan kongsi


shadow

SALAH sebuah firma perundangan terkenal negara, Lee Hishammuddin Allen & Gledhill (LHAG) kini bak retak menanti belah disebabkan pertikaian pendapatan dan cukai.

Salah seorang peguam kanan firma itu yang terkait kemelut juga adalah pendakwa raya kes cukai melibatkan Najib Razak.

Jawatankuasa rakan kongsi LHAG malam ini mengeluarkan kenyataan berkaitan dakwaan tersebar luas sejak Jumaat lalu bahawa firma itu dibubarkan yang dibuat beberapa rakan kongsi kanannya disebabkan perbezaan pendirian dalam perkongsian keuntungan syarikat.

“Lee Hishammuddin Allen & Gledhill (“LHAG”) memandang berat pelbagai mesej yang tersebar sejak Jumaat, 7 Februari 2020, yang menyatakan firma sudah dibubarkan.

“Berdasarkan perkembangan semasa, kami menyatakan bahawa firma masih belum dibubarkan dan beroperasi seperti biasa,” kata firma itu yang bermula sebagai Allen & Gledhill di Singapura pada 1902.

Pada 1959, ia menubuhkan cawangan di Malaysia dan bergabung dengan Lee&Hishammuddin pada 2005.

Firma itu menggaji lebih 200 peguam dan kakitangan sokongan.

Tinggalkan komen anda