Gerakan: Kami tak terima borang Azmin


shadow

Ketika mata tertumpu kepada mereka, Gerakan hari ini berkata masih belum menerima borang permohonan keanggotaan Azmin Ali.

“Sampai sekarang belum terima borang permohonan,” kata Presiden Gerakan Dominic Lau selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar parti itu petang ini.

Beliau juga tidak memberikan kata putus sama ada akan menerima bekas timbalan presiden PKR itu dan anggota parlimen yang menyokongnya jika permohonan dibuat.

Lau sebaliknya berkata akan menerima sesiapa sahaja yang “akur dengan ideologi parti, hormat pada undang-undang tubuh parti dan berjuang untuk rakyat”.

Beliau sebelum ini berkata Gerakan akan mengadakan mesyuarat tergempar petang ini untuk membincangkan, antara lain, sama ada untuk menerima permohonan keahlian daripada Azmin dan pengikutnya.

Sebelum ini Lau telah berkata tidak dapat mengesahkan sama ada Azmin dan pengikutnya bersedia menyertai parti itu.

Julai tahun lalu, Lau mengesahkan bahawa beliau didatangi beberapa pemimpin PKR mengenai prospek Azmin dan pengikutnya menyertai parti berusia 52 tahun itu.

Gerakan pernah menjadi parti komponen utama BN sehingga tahun 2008, apabila ia dikalahkan di kubu kuatnya di Pulau Pinang.

Sejak itu prestasi Gerakan terus menjunam dan parti itu kini tidak mempunyai seorang pun ahli parlimen di Dewan Rakyat.

Azmin dan sepuluh wakil rakyat PKR hari ini meninggalkan parti itu di tengah-tengah usaha ke arah penjajaran semula politik tanah air.

Tinggalkan komen anda